Khamis, 30 Oktober 2014

Hujah peguam buktikan wujud keraguan

MUHAMMAD FAIZAL


PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar menyifatkan hujah yang dikemukakan Peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ram Karpal cukup kuat untuk membuktikan wujudnya keraguan dalam pendakwaan tersebut.

Beliau yang hadir mendengar rayuan Anwar di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini berkata, hujah peguam secara jelas menunjukkan ada gangguan terhadap bukti yang dikemukakan.

"Peguam telah memberikan hujah-hujan yang kononnya bahan bukti membolehkan Anwar disabitkan bersalah diragui tentang penjagaan bahan-bahan tersebut.

"Peguam berhujah tadi bahawa berdasarkan prinsip kehakiman, jika bahan bukti tersebut diragui tentang ianya telah diganggu atau tidak, maka prinsipnya tidak boleh mensabitkan bersalah terhadap tertuduh," katanya kepada Harakahdaily.

Tahniah peguam

Sementara itu, Anwar ketika bercakap kepada pemberita, yakin dengan hujah yang diberikan oleh peguamnya untuk membuktikan beliau tidak bersalah.

"Penghargaan kepada peguam dari hari pertama sehingga keterangan terakhir. Kita mengharapkan keputusan yang sebaik mungkin.

"Melihat kepada hujah, tidak munasabah untuk mendapat keputusan sebaliknya," jelas beliau.

Mengulas cadangan peguam negara untuk menambahkan hukuman ke atasnya, Anwar berkata ianya adalah tindakan kotor atas dasar politik semata-mata.

"Tindakan jijik untuk menambah hukuman itu semua pengaruh politik, keterangan yang dibawa ke mahkamah terlalu kukuh.

"Saya cukup yakin mana-mana mahkamah yang mengikuti prinsip undang-undang serta patuh pada prinsip keadilan tidak akan membuat keputusan sebaliknya," katanya.

Sementara itu, Mahkamah membenarkan penghujahan pendakwaan esok pagi dan pasukan pembelaan akan menjawab pada Isnin. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: