Satu daripada gambar yang dimuatkan dalam Facebook yangmencetuskan reaksi kurang senang daripada pelbagai pihak. Satu daripada gambar yang dimuatkan dalam Facebook yangmencetuskan reaksi kurang senang daripada pelbagai pihak.
 
KUALA KANGSAR - Belum reda isu program menyentuh anjing yang dianjurkan di ibu negara baru-baru ini, warga media sosial dikejutkan pula dengan insiden memakan daging biawak dalam satu program di sini.

Isu tersebut timbul apabila terdapat pihak tertentu memuat naik status menyatakan mereka merasai daging biawak yang disediakan di satu khemah dalam sebuah karnival.

Status “test merasa daging biawak dari booth unit infantri di karnival semarak minda komuniti 1Malaysia negeri perak 2014 di dataran pavilion bersebelahan dewan jubli perak kuala kangsar (dekat masjid ridzuaniah)” itu dimuat naik dalam laman Facebook pada jam 3.02 petang, Sabtu lalu.

Tindakan dilakukan orang Melayu beragama Islam itu dipertikai dan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ramai pengguna laman sosial.

Menurut seorang pengunjung karnival tersebut yang enggan dikenali, dia mencuba memakan daging biawak tersebut selepas melihat beberapa pengunjung melakukannya.

Katanya, selepas dia menjamah daging tersebut, ramai pengunjung lain turut berbuat demikian, malah pelajar sekolah juga turut mencubanya.

“Daging tersebut diletakkan dalam pinggan dan saya diberitahu itu adalah daging biawak. Saya lihat kawan-kawan saya makan jadi saya pun turut mencubanya.

“Rasanya seperti daging biasa tapi sedikit keras dan liat. Saya hanya makan sedikit kerana berasa geli untuk makan banyak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dicabar rakan

Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Jai berkata, dia yakin apa dijamahnya itu adalah daging biawak kerana kulitnya keras dan liat, tidak seperti ayam atau lembu.

Menurutnya, terdapat beberapa pinggan di atas meja booth terbabit dan satu daripadanya adalah pinggan berisi daging biawak manakala yang lain diisi daging ayam, lembu dan ikan.

“Saya ambil daging biawak kerana ingin merasa dan pada masa itu saya lihat beberapa rakan lain turut melakukan perkara sama.

“Silap saya juga kerana terlalu ingin mencuba dan dicabar rakan-rakan, sehinggakan saya lupa yang mana satu halal dan yang mana haram,” katanya.

Jurucakap tentera yang bertugas di booth berkenaan menafikan dakwaan mengatakan orang Islam memakan daging biawak yang disediakan di situ.

Beliau berkata, anggota bertugas sudah memaklumkan kepada orang awam mengenai daging biawak tersebut dan hanya makanan halal dihidangkan kepada pengunjung beragama Islam.

Katanya, pameran tersebut diadakan untuk memberikan pendedahan kepada orang awam tentang bagaimana anggota tentera meneruskan hidup di dalam hutan dan biawak tersebut hanya untuk dipamerkan serta dimakan pengunjung bukan Islam.

“Anggota yang bertugas pada hari itu ramai juga beragama Islam dan kami tahu halal haram makanan yang disediakan. Takkanlah kami mahu beri orang Islam makan biawak pula.

“Kita ada sediakan makanan lain untuk orang Islam seperti ayam, daging lembu dan ikan. Kita memang tidak beri mereka makan biawak kerana kita peka dengan perkara ini.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh disebarkan sampai begini. Mungkin sudah menjadi budaya di negara kita yang gemar mencari benda kontroversi untuk diperkatakan,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur karnival, Hasan Ashaari Abu Bakar turut mengesahkan daging biawak yang terdapat di booth hanya untuk pameran.

Menurutnya, penganjur menyediakan garis panduan yang perlu diikuti dan petugas di booth terbabit sememangnya mematuhi peraturan ditetapkan.

“Gambar yang tersebar menunjukkan seorang lelaki seperti mahu memakan daging biawak, namun apa yang saya lihat, dia macam berlakon seperti mahu makan daging itu tapi saya percaya dia tidak makan pun.

“Kalau mereka orang Islam, mereka tidak akan makan daging biawak itu kerana mereka tahu ia adalah haram. Penganjur dan penjaga di khemah sudah melarang umat Islam makan daging tersebut,” katanya.

Sementara itu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, perbuatan orang Islam yang memakan daging biawak pada karnival itu adalah haram daripada segi hukum.

Katanya, perbuatan sedemikian tidak sewajarnya dilakukan memandangkan ia hanya satu demonstrasi mengenai survival anggota tentera khususnya komando di dalam hutan.

“Haram hukumnya memakan daging biawak tu. Memang ada komando yang makan ular, biawak ketika di hutan, tetapi itu dalam keadaan ‘darurat.’ Apa yang dijumpai, itulah yang mereka makan. Bukannya ada bekalan makanan.

“Bukannya nak jadi makanan sangat pun, cuma untuk tenaga. Tapi perbuatan sengaja memakan daging biawak adalah jelas haram,” katanya.