Khamis, 23 Oktober 2014

'Angin siklon kerana maksiat berleluasa?'

MALAYSIAKINI



 
 
 
PERKASA Selangor membangkitkan kemungkinan bahawa kejadian angin puting beliung di beberapa kawasan baru-baru ini dengan kegiatan maksiat yang didakwa berleluasa di negara ini.

Dalam satu kenyataan di Facebook semalam, NGO pro-Melayu itu turut mengaitkannya dengan pesta arak Oktoberfest dan acara mempromosi umat Islam menyentuh anjing.

"Apakah yang membuatkan (angin) puting beliung ini berminat untuk menjengah negara kita yang selama ini tidak pernah diminati dan jauh sekali untuk singgah.

“Sebelum ini kita hanya mendengar ianya sering mengunjungi Laut Cina Selatan, kalau singgah pun ke negara Filipina dan negara Vietnam.

"Apakah kerana adanya kemaksiatan yang berleluasa seperti pusat judi, pelacuran, pesta arak dan pesta memegang anjing antara menjadikan daya penarik?,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu merujuk kepada program kontroversi 'Saya Mahu Sentuh Anjing', Ahad lalu yang mencetus kemarahan di kalangan masyarakat Islam konservatif.

Pesta arak Oktoberfest yang dimaksudkan itu pula merujuk kepada acara minum bir selama tiga hari anjuran Carlsberg Malaysia, bermula 11 Oktober yang turut dihadiri sekumpulan pemimpin bukan Islam dari Pakatan Rakyat.

Pesta arak tersebut menerima kritikan kerana penganjurannya didakwa tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

PERKASA Selangor mengaitkannya dengan angin puting beliung yang membadai Pendang, Kedah pada 14 Oktober lalu sehingga merosakkan lapan buah rumah serta dan menumbanggkan beberapa batang pokok.

Seminggu kemudian, satu lagi kejadian angin puting beliung melanda Pandamaran, Klang yang merosakkan 30 buah rumah.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, kejadian yang jarang berlaku itu antara lainnya disebabkan beberapa faktor termasuk kelembapan udara yang tinggi, kepekatan udara pada tahap yang rendah serta keadaan cuaca yang tidak stabil.

Tiada ulasan: