Khamis, 16 Oktober 2014

3 batu nautika berapa ikan dapat ditangkap - Exco

ASLANI M 


KOTA BHARU: “Kalau benarlah perairan Kelantan hanya sekadar 3 batu nautika berapa ekor ikan yang mampu ditangkap nelayan-nelayan di negeri ini.

“Peliknya ada pemimpin Umno sebut perairan Kelantan hanya setakat 3 batu nautika punca tidak layak mendapat royalti minyak 5 peratus setahun.

“Tetapi apabila disebut nelayan di Kelantan boleh menangkap ikan sejauh 200 batu nautika di Laut China Selatan tidak ada pula orang bantah,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan Kelantan 2015 pada persidangan Dun hari ini beliau mempersoalkan mengapa kaedah ukuran perairan Kelantan hanya dihadkan setakat 3 batu nautika dalam konteks tuntutan royalti.

Sedangkan jarak perairan Kelantan bagi membolehkan nelayan keluar menangkap ikan sehingga 200 batu nautika.

Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Pengkalan Kubor 25 September lalu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan had perairan Kelantan dan negeri-negeri di Pantai Timur hanya setakat 3 batu nautika.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pemimpin kerajaan pusat mendahului mahkamah dengan merumuskan Kelantan tidak layak mendapat royalti 5 peratus.

Menurutnya juga kerajaan negeri tetap meneruskan tuntutan melalui mahkamah bagi mendapat royalti tersebut sejak 2010.

“Kerajaan negeri menghantar wakil menyertai Jawatankuasa Khas yang ditubuh kerajaan pusat bagi menzahirkan sikap terbuka untuk berunding bagi mendapatkan royalti.

“Kita mahu sama-sama bincang dalam jawatankuasa berkenaan. Namun sebelum mahkamah membuat keputusan terhadap hak ke atas Kelantan royalti, tiba-tiba ada pemimpin mengeluar kenyataan negeri ini tidak layak,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Kelantan mengharap diberi royalti 5 peratus terlebih dahulu biar pun kerajaan Sarawak telah menuntut royalti minyak sehingga 20 peratus. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: