KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia (PPM) menegaskan agar tidak berlakukanya pertambahan bajet pada kali ini seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.
Bendaharinya, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, PPM menjangkakan ianya akan dilakukan oleh kerajaan kerana kos akan meningkat terutama apabila perlaksanaan sistem cukai GST pada April tahun hadapan.
Ianya juga katanya, turut disuarakan dan dipesan oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat di dewan rakyat termasuklah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff dalam ucapan perbahasannya tempoh hari.
"Peruntukan bajet yang agak tinggi (RM273.9 bilion) ini sewajarnya mencukupi untuk menampung pembelanjaan negara dari semua aspek selagi amalan korupsi dapat dibendung daripada ianya berlaku," katanya.
"Kami mengambil maklum bahawasanya penambahan peruntukan adalah salah satu cara untuk terus melicinkan perjalanan pentadbiran namun ianya bukanlah satu tindakan yang rasional selagi mana amalan pemborosan terus bermaharaja lela," tegasnya.
Mengulas hutang negara yang terus meningkat, beliau berkata ianya satu lagi perkara yang sangat mendukacitakan lebih-lebih lagi tiada mekanisme dan usaha serius untuk menyelesaikannya.
Kerajaan katanya perlu lebih serius dalam membendung berlakunya ketirisan di semua peringkat terutama di seluruh agensi-agensi kerajaan.
Kerajaan juga ujarnya perlu mengamalkan pentadbiran yang amanah dan berintegriti oleh kerana ketirisan yang berlaku ini adalah penyumbang besar kepada peningkat hutang negara seterusnya menjejaskan perkembangan kewangan negara.
"Bajet defisit yang menjadi 'rutin' tahunan kerajaan perlu diambil perhatian serius oleh kerana ianya tidak menampakkan perubahan ke arah positif saban tahun.
"PPM menggesa agar kerajaan lebih serius dalam mepertingkatkan kewangan negara dengan menambah baik perjalanan pentadbiran serta mengurus sebaik mungkin sumber hasil mahsul negara," katanya. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan