KELAB GREENBOC
Prof: PAS, PKR tak perlu ambil kesempatan
PAS dan PKR tidak perlu mengambil kesempatan atas krisis politik semasa di Terengganu untuk mempengaruhi wakil rakyat Umno keluar parti, kata pensyarah dan penganalisis politik terkenal.
Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, jika ada ADUN atau ahli Parlimen Umno yang mahu keluar parti, biarlah mereka melakukannya sendiri tanpa pujukan dan sogokan.
“Yang jelas, kapal Umno di Terengganu semakin bocor. Bolehkah diselamatkan dari tenggelam?” katanya.
Bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said awal pagi tadi bersama dua lagi ADUN Umno mengisytiharkan keluar parti dan menjadi bebas.
Ia ekoran tidak puas hati dengan kaedah pertukaran menteri besar negeri itu. Beberapa ADUN lagi dijangka mengikut jejak langkah itu.
Ia mencetuskan krisis politik baru apabila BN kini menjadi kerajaan minoriti dengan 14 kerusi dalam DUN berbanding PAS (14), PKR (1) dan bebas (3).
Menulis dalam Facebook beliau hari ini, Mohammad Agus juga berkata, beliau fikir tidak sesuai hanya dengan tindakan beberapa ADUN keluar parti, kerajaan Terengganu bertukar tangan.
“Jika bertukar tangan, biarlah ‘rakyat’ yang menjadi penentunya. Bubarkan DUN dan serahkan pada rakyat untuk membuat pemilihan semula. Itu yang terbaik untuk menjunjung demokrasi,” katanya.
Beliau juga menggesa pengalaman di Perak pada Februari 2009 dahulu dijadikan pengajaran.
“Serahkan kembali kuasa kepada rakyat atau jika tidak mahu mengadakan pilihan raya atas alasan untuk menjimatkan kos, buatlah undi tidak percaya di lantai dewan (DUN),” katanya lagi. -mk
Tarik Adun Bebas Terengganu sertai PAS bukan keutamaan, kata Pesuruhjaya
PAS Terengganu merasakan belum ada keperluan untuk menarik tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas di negeri itu menyertai mereka, memandangkan keutamaan mereka adalah untuk mendesak pilihan raya negeri diadakan semula, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahari Mamat.
Satiful ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, keadaan tetap tidak berubah meskipun ketiga-tiga Adun berkenaan tidak menyertai PAS ekoran majoriti kerusi yang diwakili Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah berkurang.
"Buat masa sekarang itu (menarik mereka menyertai PAS) bukan keutamaan kita," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu lewat petang tadi.
"Kita tumpu untuk pilihan raya negeri diadakan," katanya yang juga Adun Paka.
Tiga Adun BN melepaskan jawatan dalam parti menjadi Adun Bebas menurut jejak langkah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said sejurus beliau meletak jawatan sebagai menteri besar.
Selain Ahmad, yang juga merupakan Adun Kijal, menuruti langkah beliau adalah Adun Bukit Besi Roslee Daud dan Adun Ajil Ghazali Tain.
Tindakan berkenaan menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) kini menguasai majoriti kerusi DUN dengan sebanyak 15 kerusi berbanding BN yang kini hanya tinggal 14 kerusi.
DUN Terengganu mempunyai keseluruhan 32 jumlah kerusi.
Satiful berkata, PAS juga akan mengadakan mesyuarat dari masa ke semasa untuk menilai tindakan mereka dalam menangani kemelut yang melanda kepimpinan Umno di negeri itu.
"Kita akan mengadakan mesyuarat sekiranya perlu dan akan maklumkan hasil perbincangan kami termasuk perkara itu," katanya. -TMI
Tragedi 13 Mei Terengganu.....Adakah Balasan Krisis Di Perak..!!!
Ramai yang terkejut dengan keputusan bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said bertindak keluar dari parti keramat UMNO disaat seluruh negara tertumpu kepada majlis angkat sumpah perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru iaitu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman malam tadi. Apa tidaknya, Mat Said yang dilihat tidak muncul ketika majlis angkat sumpah Ahmad Razif dihadapan Sultan Mizan Zainal Abdidin di Istana Syarqiyyah, Chendering tiba-tiba umum keluar UMNO. Turut bersama beliau ialah ADUN Ajil, Ghazali Taib.
Tindakan Mat Said dan Ghazali ini memberi tamparan yang cukup hebat kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Dikala UMNO sedang menyambut perayaan ulangtahunnya yang ke-68 semalam, tiba-tiba "Tragedi 13 Mei" melanda negeri Terengganu. Kedudukan kerusi DUN kini sama iaitu 14-15-3 akibat tindakan Mat Said menjadi ADUN Bebas. Malah, seandainya mereka berdua bertindak serupa seperti dua ADUN PKR yang lompat parti dan menjadi ADUN Bebas di Perak dulu iaitu Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi.
Jika dulu, Menteri Besar Perak, Ir.Nizar Jamaluddin digulingkan dan Dr.Zambry Kadir diangkat menjadi Menteri Besar yang baru dalam satu krisis politik yang paling dasyat di Malaysia kini apakah ia mungkin berlaku pula di Terengganu?. Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Nizar dijatuhkan dengan taktik "lompat parti" dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP. Kini, di Terengganu tragedi yang sama mungkin berlaku bila dua ADUN BN tiba-tiba mengisytiharkan diri mereka ADUN Bebas. Sesuatu yang menakutkan buat PM Najib Tun Razak sebenarnya. Di Perak dulu, Najib adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang dikatakan terlibat dengan konspirasi itu. Kini, Najib juga yang memperkenankan pertukaran MB Mat Said kepada Ahmad Razif.
Tindakan ini akhirnya memakan diri, bila Mat Said begitu bijak mengambil peluang keemasan untuk mengajar pihak yang menganiaya dirinya. Sesuatu yang memang sudah dijangka, Mat Said pasti akan bersama Pakatan Rakyat dalam masa terdekat ini. Jika ini berlaku maka Ahmad Razif mungkin akan bergelar Menteri Besar yang paling pendek memegang jawatan tersebut di Malaysia sejak sekian lama.
Jika dulu, rakyat Perak merasai keperitan kuasa kerajaan negeri bertukar daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional. Kini, ia seolah-olah berbalik kepada UMNO pabila Kerajaan Negeri Terengganu pula kemungkinan besar akan bertukar dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Apapun, kesilapan pertukaran Menteri Besar ini harus dijadikan ikhtibar kepada pemimpin UMNO. Dikala rakyat mahu melihat perubahan jawatan peringkat kabinet tiba-tiba MB Terengganu ditukarkan. Kini, "nasi sudah menjadi bubur" dan apakah Mat Said akan berundur dengan tawaran lumayan atau meneruskan hasratnya. Sama-sama kita nantikan episod seterusnya adengan panas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan