PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Mei ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Teluk Intan.
Sementara penamaan calon pula akan diadakan pada 19 Mei.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu sidang media yang diadakan selepas selesai mesyuarat khas di ibu pejabat SPR di sini, hari ini.
"SPR telah menetapkan 19 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK Teluk Intan.
"Sementara pengundian awal 27 Mei 2014 dan undian biasa pada 31 Mei 2014," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, anggaran kos perbelanjaan bagi menjalankan PRK Teluk Intan yang melibatkan 60,349 pengundi berdaftar ini sebanyak RM1,470,347.
“Daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK Teluk Intan ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang diwartakan pada 30 April 2014 yang telah dikemaskini sehingga 1 Mei 2014.
“Daftar pemilih tersebut mengandungi 60,349 pemilih berdaftar yang terdiri 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara,” katanya.
Sebanyak 36 pusat mengundi akan dibuka bagi tujuan pengundian dan seramai 957 petugas pilihan raya dilantik untuk pengendalian proses tersebut.
PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng pada 1 Mei lalu akibat penyakit kanser yang dihidapinya.
Mendiang dilaporkan meninggal dunia jam 7.45 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Leong Peng menang di kerusi Parlimen Teluk Intan pada PRU13 lalu dengan majoriti 7,313 menewaskan calon BN yang juga Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, K Moralingam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan