Sabtu, 10 Mei 2014

Presiden Gerakan sedia tanding di Teluk Intan

MALAYSIAKINI


Presiden Parti Gerakan, Datuk Mah Siew Keong bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan sekiranya diberi mandat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Menurutnya, sebagai seorang anggota politik yang begitu komited, beliau bersedia dan akur dengan keputusan yang bakal diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional.

"Saya bersedia untuk bertanding PRK Teluk Intan jika nama saya dicalonkan kelak.
  
"Saya juga bersedia dengan keputusan dan calon yang akan ditetapkan untuk bertanding di Teluk Intan. Keputusan yang diputuskan itu bukan untuk individu namun bagi kepentingan parti," katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu hari ini.
  
Beliau berkata Gerakan juga mencadangkan beberapa nama sebagai calon PRK itu.
  
Mah berkata pihaknya akan bekerja keras untuk membantu calon yang bertanding pada PRK Bukit Gelugor dan Teluk Intan.
  
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada DAP, Seah Leong Peng, akibat kanser, 1 Mei lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Mei sebagai hari penamaan calon manakala 31 Mei hari pengundian.
  
Sementara itu Pengerusi Gerakan Terengganu Datuk Yap Kea Ping berkata Gerakan Terengganu sebulat suara menyokong dan bersetuju calon yang ditetapkan pada PRK itu.
  
Sementara itu, di George Town, Gerakan Pulau Pinang menyokong Mah dipilih sebagai calon di Teluk Intan.
  
Pegerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata Jawatankuasa Perhubungan Gerakan menyokong penuh Mah dicalonkan kerana pengalaman beliau yang
pernah berkhidmat di kawasan berkenaan selama dua penggal.

"Mah adalah calon yang paling layak untuk dipilih di Teluk Intan dan kami menyokong penuh pencalonan beliau," katanya kepada pemberita hari ini.
  
Beliau berkata Gerakan Pulau Pinang akan menubuhkan satu pasukan khas dengan seramai 80 petugas untuk membantu jentera pilihan raya di Teluk Intan.
  
Bagaimanapun Teng berkata beliau akan menghormati keputusan calon yang akan ditentukan perdana menteri.
  
Mengenai PRK Parlimen Bukit Gelugor, Teng yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri, berkata beliau akan bermesyuarat dengan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun hari ini.
  
"Gerakan akan menyokong penuh calon Barisan Nasional di Bukit Gelugor tetapi keputusan calon terpulang kepada MCA dan saya masih menunggu maklum balas daripada mereka," katanya.
  
Terdahulu, Chew dalam sidang media berasingan berkata sebagai sebuah parti politik, MCA sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
  
engulas laporan akhbar Cina mengenai BN tidak akan bertanding di PRK Bukit Gelugor, Chew berkata itu hanya spekulasi.
  
Beliau turut menyeru semua pihak supaya bersabar dan pihaknya akan membuat pengumuman apabila tiba masanya.
  
Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, akibat nahas jalan raya dan SPR menetapkan 12 Mei sebagai hari pencalonan manakala 25 Mei hari mengundi.- Bernama

Tiada ulasan: