MALAYSIAKINI
Pengundi bagi kerusi Parlimen Teluk Intan mahu bakal wakil rakyat mereka
nanti seorang yang mesra rakyat dan mampu memahami hasrat dan aspirasi
mereka.
"Kita perlukan ahli Parlimen yang boleh menyuarakan hasrat dan memberi
perkhidmatan kepada rakyat apabila mereka berdepan masalah," kata
seorang peniaga Gobi Ramdas, 34.
Kawasan Parlimen itu yang merangkumi bandar Teluk Intan, kawasan
perladangan, sawah serta kampung tradisi di daerah Hilir Perak,
merupakan sebuah kawasan yang sedang membangun.
Dengan jumlah pengundi melebihi 60,000 yang terdiri daripada pelbagai
kaum dengan jumlah terbesar iaitu 45 peratus bekerja sebagai peniaga dan
diikuti dengan pekerja kerajaan dan swasta (35 peratus), diikuti dengan
mereka yang terbabit dengan pertanian (15 peratus), cita rasa para
pengundi kawasan ini hampir sama.
Gobi berkata beliau juga mahu mereka yang menjadi calon wakil rakyat
mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri ataupun pusat supaya masalah
mereka didengar dan diambil tindakan.
Bagi Tan Meng Wah, 53, seorang anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO),
beliau tidak mahu calon yang hanya pandai menabur janji kosong dan tidak
turun padang untuk mendengar permasalahan rakyat setempat.
Suri rumah, Fatimah Sahat, 65, berharap calon wakil rakyat kawasan
Parlimen Teluk Intan ini mampu membawa perubahan dari segi pembangunan
dan kemudahan infrastruktur yang memberi keselesaan kepada rakyat
kawasan itu kerana sebelum ini wakil pembangkang tidak mampu membantu.
"Kami tidak mahu termakan dengan janji palsu pembangkang yang hanya
turun padang bila ada pilihan raya tetapi selepas itu hilang tak nampak
muka.
Pembangkang juga tak pernah nak selesaikan masalah rakyat dengan alasan mereka bukan kerajaan yang memerintah," katanya.
Peniaga Nur Haneem Baharuddin, 30, berharap calon yang dipilih
parti-parti yang bertanding adalah mereka yang mampu bekerja dan mesra
rakyat, dan bukan hanya pandai bercakap tetapi mempunyai rancangan
membangunkan kawasan Telun Intan.
Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan
kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, akibat kanser di Pusat
Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1 Mei lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas, Seah menewaskan calon Barisan
Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan
majoriti 7,313 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Teluk Intan pada 19 Mei dan pengundian pada 31 Mei.
Sebanyak 60,349 pemilih berdaftar layak pengundi pada PRK kali ini yang
terdiri daripada Cina 25,310 orang (41.94 peratus), Melayu 23,301 (38.61
peratus), India 11,468 (19 peratus) dan kaum-kaum lain.
Sementara itu, jumlah pengundi wanita di kawasan parlimen Teluk Intan
adalah 31,049 (51.45 peratus) dan lelaki 29,300 (48.55 peratus)
Pengundi paling ramai adalah mereka yang berumur antara 30 hingga 39
tahun merangkumi 12,365 pengundi (20.49 peratus); diikuti 12,242 (20.29
peratus) berumur 50 hingga 59 tahun dan 11,446 (18.97 peratus) berumur
40 hingga 49 tahun.
PRK Parlimen Teluk Intan merupakan PRK keenam selepas PRU-13 bermula
dengan PRK DUN Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai 2013, DUN Sungai
Limau, Kedah (4 November 2013), DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014), DUN
Balingian, Sarawak (29 Mac 2014) dan Parlimen Bukit Gelugor (25 Mei
ini).- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan