Khamis, 15 Mei 2014

Pemimpin Yang Mengadai Prinsip Dan Maruah

Oleh Abu Hassan Adam



Aku tidak tahu apa ‘hukuman’ yang perlu dikenakan ke atas pemimpin-pemimpin yang bertindak diluar batas normal (dalam politik) melainkan dengan meletakkan satu ‘tanda’ ke atas mereka bahawa mereka telah menggadaikan maruah diri dan bangsa Melayu.

Dan tentulah tidak juga boleh dipersalahkan mereka sepenuhnya kerana bertindak sedemikian rupa kerana mereka juga mengikuti jejak langkah pemimpin terdahulu yang juga bertindak sebagaimana yang mereka lakukan. Maknanya mereka juga seperti gelagat Pak Pandir (dalam cerita Pak Pandir) yang selalu mengatakan ungkapan yang berbunyi, ‘bukan anak aku sorang ….”

Sehari dua ini rakyat Malaysia telah dipertontonkan dengan babak-babak yang mengelirukan, bercampur antara persaan sedih, lucu dan marah. Keliru apabila melihatkan watak-watak yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin seorang demi seorang merelakan diri mereka ‘dihina’ oleh masyarakat dan bangsa mereka. Aku tidak tahu apakah ungkapan yang paling tepat untuk diberikan kepada mereka yang boleh mengubah prinsip pendirian dalam masa yang tidak sampai 48 jam.

Sudah diludah dijilat balik. Begitulah bunyinya peribahasa Melayu lama untuk menggambarkan tindakan beberapa orang pemimpin Terengganu yang sudah kembali semula ke pangkuan diiringi senyum lebar membayangkan seolah-olah tidak ada apa-apa yang buruk berlaku sebelumnya. Hanya semalam, para ‘pemimpin’ di negeri Terengganu Darul Iman telah melafazkan ungkapan yang kurang enak terhadap pemimpin tertinggi mereka, namun dalam masa yang kurang dari 48 jam semuanya sudah baik seperti biasa. ‘Air ludah’ yang semalam telah pun ‘dijilat semula’ pada hari ini. Dan masing-masing melafazkan kata-kata keramat orang tua-tua, ‘ biduk lalu kiambang bertaut’.
Bagi aku kemelut yang berlaku di Terengganu itu memberikan kesan yang amat besar kepada hati dan perasaan rakyat Terengganu khususnya dan rakyat Malaysia keturunan Melayu amnya.

Sebenarnya ‘derita dan pedih’ yang dirasakan oleh rakyat Perak beberapa tahun yang lalu masih belum ‘sembuh’ seperti sediakala. Masih terasa lagi ‘pedihnya’ dan ternampak ‘parutnya. Memang belum pulih sepenuhnya. Kini timbul pula peristiwa yang hampir serupa berlaku di Terengganu, yang pastinya menambahkan lagi derita dan luka perasaan rakyat Malaysia yang sentiasa memikirkan tentang prinsip dan maruah.

Sebelum mengambil apa-apa tindakan yang sepenting ini, apakah pemimpin-pemimpin Terengganu ini tidak memikirkan ‘maruah’ rakyat Terengganu keseluruhannya. Maksudnya apakah mereka tidak terlebih dahulu menyelami perasaan rakyat Terengganu dengan tindakan mereka ‘yang menjilat
semula air ludah’ mereka itu. Pastinya rakyat Terengganu yang sentiasa menjaga meruah diri merasakan perbuatan ‘pemimpin’ mereka itu agak janggal (mungkin ada juga yang merasa agak ‘jijik’) di mata rakyat Terengganu. Mungkin….. Yang aku sedang fikirkan juga ialah bahawa masyarakat Malaysia dan khususnya masyarakat Melayu sedang dalam keadaan yang amat sedih mengenangkan tindakan para pemimpin yang sentiasa mendabik dada ‘terpekik terlolong’
menjeritkan bahawa kononnya merekalah pembela bangsa dan negara. Dan pemimpin yang sebegini jugalah yang selalu menasihatkan orang Melayu agar bangsa Melayu snetiasa menjaga maruah diri dan mempertahankan prinsip perjuangan dalam menghadapi dunia yang penuh dengan pancaroba.

Dan bukankah tindakan mereka itu telah menggadaikan maruah dan prinsip perjuangan. Sekiranya mereka menafikan kenyataan ini, aku tidak tahu apa pula ‘label’ yang perlu dikenakan. Ini yang dikatakan sebagai, ‘cakap tak selupa bikin…..”

Terus terang aku katakan bahawa aku ( orang Melayu totok ) amat merasa malu dan terhina melihatkan gelagat beberapa orang ‘tokoh’ yang bersikap seperti mana yang dijelaskan samada yang berlaku di Perak, di Terengganu atau di mana saja di bumi Malaysia ini. Apakah mereka ini bukan lagi merupakan keturunan anak cucu Dato Maharajalela (Perak)yang sanggup membunuh James Birch demi mempertahankan maruah bangsa dan negeri. Dan apakah mereka juga tidak mengkaji sejarah perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong yang sanggup berdepan dengan British demi mempertahankan seinci tanah Terengganu walaupun tidak lengkap persenjataannnya. Mengapakah agaknya mereka begitu mudah boleh diperdaya dan menukar haluan?

Menggadai maruah sudah merupakan perkara biasa dan lumrah dikalangan masyarakat Malaysia kini. Seiring dengan tindakan yang ‘tidak merasa malu’ masyarakat Malaysia melakukan seolah-olah mereka tidak pernah pun ‘menempuh’ dan diajar apa sebenarnya makna perkataan demikian.

Seolah-olah mereka tidak langsung pernah diajar dan dididik oleh ibu bapa mereka ketika mereka masih kecil. Seolah-olah para guru tidak menjalankan tugas dengan sempurna mendidik ‘anak-anak’ yang kini sudah besar panjang dan bergelar sebagai pemimpin pula.

Bukan tidak ada pemimpin Melayu di Malaysia yang boleh dicontohi dan yang sanggup bermati-matian menegakkan maruah diri dan prinsip hidup demi untuk meneruskan kelangsungan perjuangan bangsa dan negara. Ramai. Tun Dr.Ismail bin Abdul Rahman. Seorang Melayu tulin. Dan tidak pula luntur penghormatan yang diberikan kepadanya oleh bukan Melayu disebabkan beliau seorang pemimpin yang berketurunan Melayu. Malah hormat kaum bukan Melayu kepadanya semakin kuat dan kukuh.

YB Tengku Razaleigh Hamzah pernah mengatakan, ‘"The Chinese did not have much confidence in Razak, but they did in Ismail. Razak was always associated with Malay and rural affairs, et cetera.
Ismail was a principled man — and was seen that way by the different races. He was the Rock of Gibraltar. Once he decided on something you could be sure that he had gone through the relevant details and studied them. What is confidence unless it is based on the people’s belief in the leader?" Wikipedia.

Wahai pemimpin yang menggelarkan diri sebagai ‘Melayu beragama Islam ’, fikirkanlah……

Tiada ulasan: