Empat pemimpin DAP Pulau Pinang hari ini
membuat laporan polis mendakwa telefon bimbit mereka digodam untuk
menghantar mesej berbaur perkauman menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK)
Bukit Gelugor Ahad ini.
Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy mendakwa nombor telefon beliau
digunakan menghantar mesej berbunyi: "Ingat pengundi Sg Gelugor/Kg
Melayu gerai kamu akan dirobohkan selepas PRK".
Exco Pulau Pinang Phee Poon Boh pula menyatakan mesej yang menggunakan
nombor telefon beliau berbunyi "MCA telah menyerah kalah GERAKAN Pulau
Pinang bila lagi? Lepas ini kita akan jadikan P. Pinang seperti
Singapore."
ADUN Seri Delima RSN Rayer dan ADUN Padang Lalang Chong Eng turut
membuat laporan polis bahawa nombor mereka digunakan mengutuk kaum lain
di negeri itu.
Chong Eng dan Ramasamy membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam,
Rayer di Balai Polis Jelutong dan Phee di Balai Polis Timur Laut pagi
ini.
Mereka meminta semua yang menerima mesej sedemikian untuk membuat
laporan polis dan syarikat telekomunikasi dan meminta tindakan diambil
bagi meningkatkan sekuriti telefon bimbit.
Sementara itu Chong Eng berkata pimpinan DAP mungkin akan menukar
syarikat telekomunikasi mereka lantaran semua nombor yang digodam selama
ini menggunakan dua syarikat telekomunikasi yang sama.
"Semua terlibat menggunakan nombor 012 dan 019. Jika syarikat tidak
ambil langkah seterusnya kami akan ambil langkah tukar syarikat lain,"
kata beliau kepada wartawan.
Sebelum ini ketika PRK Kajang sebelas nombor telefon milik pimpinan dan
petugas PKR telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Antara pimpinan PKR yang digodam adalah Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali,
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu,
Tian Chua serta Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Selain dari itu turut menjadi mangsa adalah, Ahli Parlimen Bukit Katil,
Shamsul Iskandar Md Akin; Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing; Adun Seri
Muda, Suhaimi Shafiei dan juga beberapa petugas PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan