GEORGETOWN - Calon Bebas pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar melahirkan rasa terkilan terhadap pemimpin Pas kerana tidak menyokong beliau dalam memperjuangkan hudud sebaliknya menyokong calon DAP.
Beliau yang mengaku masih anggota Pas turut melahirkan rasa sedih dan berasa dianaktirikan apabila jentera Pas membantu kempen calon DAP yang secara terang-terangan menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.
"Macam di Bukit Gelugor, muslimat Pas sanggup ikut calon DAP (Ramkarpal Singh Deo) berkempen sampai azan maghrib pun mereka tidak hiraukan. Sedih saya tengok. Beberapa kali saya dok perhati," katanya kepada pemberita selepas berkempen di pasar malam Taman Tun Sardon di sini hari ini.
Beliau berkata sikap segelintir orang Islam sendiri yang menolak hudud menyebabkan masyarakat majmuk berasa ragu untuk menerima dan meningkatkan kefahaman pelaksanaan hukum itu.
Terdahulu Mohamed Nabi Bux, 63, menarik perhatian orang ramai apabila berceramah menggunakan pembesar suara dari dalam lori di pinggir pasar malam yang sibuk itu.
Pilihan raya kecil Bukit Gelugor Ahad ini menyaksikan pertembungan empatpenjuru antara Mohamed Nabi Bux dan seorang lagi calon bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dan Ramkarpal. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan