Sabtu, 3 Mei 2014

Malaysia tersenarai dalam pemerhatian Amerika bagi kebebasan beragama

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH


Imej Malaysia dikatakan terjejas kerana larangan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam dan menyokong secara terangan kebencian agama lain. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Mei, 2014.  
Imej Malaysia dikatakan terjejas kerana larangan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam dan menyokong secara terangan kebencian agama lain. – Gambar fail The Malaysian Insider.


Malaysia dilaporkan berada dalam kedudukan senarai pemerhatian badan penasihat kepada kerajaan Amerika Syarikat ‎(AS) bagi kebebasan beragama terhad sebaris dengan negara seperti Afghanistan, Cuba, Indonesia, Laos, Russia dan Turki.

Laporan tahunan Suruhanjaya Antarabangsa Kebebasan Agama, AS ‎(USCIRF) 2014 menunjukkan Malaysia berada di peringkat 2, iaitu satu tahap untuk ke peringkat 1 (negara yang paling dibimbangi) dalam senarai seperti Myanmar, China, Iran, Iraq, Pakistan, Sudan dan lain-lain.

"USCIRF mendapati hubung kait antara agama, etnik dan politik di Malaysia menyebabkan perlindungan bagi kebebasan agama golongan minoriti dan umat Islam selain Sunni," kata suruhanjaya tersebut melalui laporannya.

‎USCIRF merupakan badan bebas penasihat kerajaan AS bagi memantau kebebasan agama di seluruh dunia yang akan membuat saranan kepada presiden, setiausaha, kongres negara nombor satu dunia itu.

Suruhanjaya itu berkata Malaysia tidak pernah dilaporkan dalam senarai pemerhatian sejak ahun 2007.

"Laporan diperbaharui berpunca daripada kebimbangan mengenai perlindungan undang-undang terhad bagi golongan minoriti, etnik Melayu yang berhasrat menukar agama, mengharamkan penerbitan dan kumpulan agama tertentu termasuk Syiah dan memperluaskan usaha menangkap ahli kumpulan tersebut dalam tempoh dua tahun" kata laporan tersebut.

Dalam laporan itu juga badan berkenaan menyenaraikan beberapa situasi kebebasan beragama yang menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara sederhana dan model kepelbagaian kepercayaan termasuk larangan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam dan menyokong secara terangan kebencian agama lain.

‎‎Mahkamah Tinggi pada Oktober tahun lepas membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah katolik berbahasa Melayu Herald.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah merupakan hak eksklusif masyarakat Islam.

Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dikatakan menerima laporan wujudnya khutbah sembayang Jumaat yang mengkritik Yahudi dan Kristian.

"Pada Mac 2013 ‎khutbah rasmi dengan bertajuk Islam perlu memahami musuh utama Yahudi, dan November tahun sama Jakim sekali lagi menganjurkan khutbah membincangkan sifat buruk kaum Yahudi dan menyatakan negara Israel adalah haram.

"Selepas dikritik, khutbah ditarik dan kerajaan Malaysia meminta maaf. Namun pada Januari 2014 Jakim sekali lagi meluluskan khutbah bertajuk perpecahan antara Islam yang disebabkan Kristian dan Yahudi.

Wakil rasmi Jakim dikatakan cuba mempengaruhi kandungan khutbah menggunakan masjid sebagai mesej politik dan menghalang sesetengah imam daripada memberi ceramah di masjid.

Suruhanjaya itu berkata ‎penangkapan disebabkan mazhab berlainan menyebabkan Malaysia tersenarai dalam laporan itu.

"Selama beberapa tahun lepas, Malaysia memperluaskan usaha memantau dan menahan pengikut berlainan mazhab antaranya Syiah dan Al-Arqam.

‎"Sejak 2010 lebih daripada pengikut Syiah ditahan termasuk di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak," katanya.

‎Kerajaan persekutuan dan negeri dilaporkan mengekalkan senarai mazhab agama menyimpang yang boleh menganggu keselamatan negara.

"Antara kumpulan tersebut termasuk Syiah, Ahmadi, Baha'i, Jehovah Witnesess, The Church of the Latter Day Saints, dan al -Arqam."

"Usaha penguatkuasaan memberi tumpuan kepada penukaran dakwah di mana ahli kumpulan terdedah untuk ditahan bila-bila masa," katanya.

‎Ini termasuk cadangan Jakim untuk mewujudkan pasukan polis agama bagi jabatan agama Islam di seluruh negara.

Selain itu, laporan itu menyentuh penahanan pemilik buku Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz kerana megedarkan penjualan buku Irshad Manji.

Juga penahanan Maznah Mohd Yusof selepas memuat naik sebuah video di laman Youtube bersama tiga anjingnya.

‎Justeru, suruhanjaya menyarankan kerajaan AS mengakui politik berorentiasikan agama melemahkan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara plural.

‎Suruhanjaya itu menggesa AS melakukan usaha lebih besar bagi  kebebasan agama dan bertoleransi bagi dalam hubungan dua hala Malaysia-AS.

Menggesa kerajaan Malaysia menghentikan penangkapan individu berkaitan kumpulan agama seperti Syiah dan Al-Arqam.

Mendesak kerajaan Malaysia membawa semua undang-undang dan polisi bagi diselaraskan dengan komitmen antarabangsa termasuk kebebasan beragama

Menggalakan pemimpin yang dipilih menekankan mengenai kelemahan hak asasi selari dengan Mahkamah Sivil dan Syariah memberi keadilan kepada semua rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: