Mohd Haikal (kanan) dan adik-beradiknya kini hilang tempat bergantung selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan kelmarin.
SUNGKAI - Anak sulung pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew, Cheras kelmarin mahu terus menetap di Kuala Lumpur dan enggan dipisahkan dengan adik-beradiknya.
Mohd Haikal Jefri, 16, berkata, Allahyarham bapanya, Jefri Mohd Zain, 46, pernah berpesan kepadanya supaya menjaga adik-adiknya sekiranya berlaku sesuatu kepada dirinya.
"Saya tidak mahu berpisah dengan adik-adik. Arwah ayah pernah berpesan jika apa-apa berlaku padanya, dia minta saya jaga adik-adik dan mahu saya rajin belajar,” katanya ketika ditemui di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, Sungkai, semalam.
Pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras itu berkata, dia dan adik-adiknya enggan berpindah ke kampungnya di Sungkai kerana tiada siapa dapat menjaga mereka di situ.
"Lagipun dua lagi adik yang berusia 14 dan 10 tahun bersekolah di Cheras. Kalau boleh saya dan adik-adik mahu terus tinggal di rumah kami di Cheras.
"Di sana ada emak saudara yang boleh menjaga kami. Kalau tinggal di kampung (tempat asal arwah bapanya di Sungkai) tiada siapa boleh menjaga kami,” katanya.
Mohd Haikal berkata, sebagai anak sulung, dia sedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi membesarkan empat adiknya.
Adik bongsu Jefri, Zulianawati Mohd Zain, 32, pula berkata, dia berasa amat sedih dan hiba kerana kehilangan abang menjelang majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung 7 Jun depan di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, di sini.
Dia yang tinggal di Damansara, berkata, abangnya mengambil berat tentang persediaan perkahwinannya dengan memastikan semua borang pernikahan siap diisi dan ditandatanganinya.
“Saya tidak sangka abang tak sempat menyaksikan majlis pernikahan saya. Dia berpesan supaya majlis perkahwinan saya dilangsungkan secara sederhana, tak perlu bersanding.
“Sebab itu majlis perkahwinan nanti, saya hanya akan buat kenduri kecil-kecilan tanpa bersanding seperti arwah pinta,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi adik Jefri, Zainah Mohd Zain, 44, berkata, dia dan adik beradiknya tidak tergamak memisahkan Mohd Haikal, Fatin Adlina, 14; Mohd Aidil, 10; Norshamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3.
Katanya, Norshamini dan Nor Auni Safia amat rapat dan tidak boleh berenggang, jadi mereka mahu kesemua anak Allahyarham Jefri dan isterinya, Noorsalawati Ibrahim, 40, membesar bersama.
Menurutnya, walau apa pun kesukaran bakal ditempuhinya untuk menjaga kelima-lima anak saudaranya itu, dia tidak mahu mereka dihantar ke rumah anak yatim.
Katanya, dia dan adik-beradik lain akan berbincang menentukan siapa bakal menjaga Mohd Haikal serta adiknya dan adakah mereka akan menetap di Cheras atau kampung.
“Buat masa ini kami belum buat keputusan siapa yang akan jaga mereka. Tunggulah selepas majlis tahlil arwah abang saya ini selesai, barulah kami akan berbincang.
“Kemungkinan besar kelima-lima anak saudara kami ini akan menetap di Cheras kerana arwah bapa mereka memiliki rumah di situ,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan