MSO
Hari ini kita jadi pening kepala kerana banyak memikir soal hukum
hudud. Macam-macam kenyataan dan ulasan mengenai hudud termasuk ada
yang menceritakan sejarah bermula hukum hudud. Saking banyaknya
perbualan menyebabkan hudud jadi macam pesawat MH370 yang hilang. Dunia aviation yang kita tidak tahu sebelum ini, menjadikan kita tahu sedikit sebanyak. Elok juga.
Hukuman sebat ke atas pesalah hudud di Aceh. |
Sejak MH370 ghaib kita tahu soal-soal teknikal mengenai pesawat. Tahu
bagaimana sebuah pesawat itu dioperasi. Tahu macam mana pesawat itu
dikawal menerusi radar. Tahu juga berapa banyak radar yang merakam
perjalanan sesuatu pesawat atau ketika pesawat di udara.
Ekoran kehilangan pesawat MH370 kita juga mendengar berbagai teori untuk
mengesan dan meramalkan apakah terjadi kepada pesawat berkenaan. Begitu
juga dengan orang bercakap mengenai dunia aviaiton dan mengenai kehilangan itu termasuklah mereka yang tidak memahami dan jahil mengenai tentangnya ikut sama bercakap.
Paling anih lagi, sampai bomoh pun turut sama mengambil bahagian
melakukan perkara-perkara bidaah dan tahayul untuk ikut sama
berpartisipasi mencari kapal terbang yang hilang itu. Dan diri kita juga
berpeluang untuk mengemukakan teori kita sendiri bagi meramal ke mana
dan apa yang terjadi kepada 239 penumpang bersama anak kapal MH370.
Nah, begitu juga dengan isu hukum hudud hari ini, semua orang bercakap
dan menyentuhnya. Golongan agama, pakar perlembagaan, bekas hakim, lebai
kampung dan sebagainya ikut sama bercakap. Sudah semestinya orang
politik tidak kering ketinggalan. Bukan sahaja pemimpin Pas, pemimpin
Umno, juga bercakap. Lagi anihnya pemimpin MCA, Gerakan, DAP juga
bercakap. Bahkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga ikut sama
bercakap.
Setakat ini hanya tukang potong daging sahaja yang namanya diheret sama
belum bersuara. Mungkin esok lusa akan ada mana-mana pusat penyembelihan
memberi komen mengenai hudud. Al hasilnya hudud yang serius sudah jadi
main-main dan dipersendakan.
Memang hudud hak semua orang seperti mana MH370 itu, semua orang berhak
bercakap. Tetapi tidak bermakna semua orang boleh mengulas tentang
kehilangannya mengikut nafsu masing-masing kerana ia boleh mengelirukan.
Mereka yang tidak mahir dan pakar dalam sesuatu bidang tidak berhak
campur tangan dalam bidang yang dia tidak tahu. Misalnya, apa dilakukan
seorang bomoh itu, kononnya MH370 itu begitu dan begitu, ia bukan sahaja
mengelirukan, tetapi melucukan. Paling teruk gara-gara aksinya
menyebabkan negara diketawakan dunia luar.
Begitu juga dengan hudud ini negara-negara yang awal menerima Islam
seperti di Timur Tengah mungkin ketawa dan mengeluh memerhati kita
membicarakan soal hukum hudud di negara ini. Mereka gelak melihat
gelagat kita yang hendak menjadi Islam lebih daripadanya. Orang Melayu
selalu terjadi terlebih hulu dari mata.
Begitu juga mengenai hukum hudud ini. Perbicaraan dan pergaduhan sesama
sendiri menyebabkan ia melucu dan boleh membingungkan pendengar. Bagi
mereka yang arif mengenainya, sama ada keinginan melaksanakan sebagai
satu kewajiban agama atau dijadikan modal politik, akan ketawa. Hanya
orang yang tahu ia modal politik akan tersenyum kambing melihat
implikasi daripada apa yang timbul di sebalik hudud kini. Manakala
mereka yang dibiuskan hudud itu sebagai satu perjuangan menuju syahid,
akan terus mendengar sebagai para pandir-pandir sahaja.
Yang anihnya ialah orang kampung dan budak-budak politik fanatik yang
disogok dengan hukum-hukum "leper" mengenai keperluan hukum hudud perlu
dilaksanakan. Mereka jenis ini dengan mudah menganggap kalau hukum hudud
dilaksanakan, semuanya akan beres, kes jenayah, rogol, cabul akan
selesai kerana penjenayah itu akan disebat. Bagi mereka apabila hukum
hudud, sebat 100 rotan, tangan dipotong maka bereslah segalanya.
Mereka yang berfikiran mudah begitu tidak mempunyai kajian mendalam dan
bersikap rasional untuk melihat realiti. Orang yang menganggap mudah itu
samalah seperti orang yang mencadangkan doktor pakar untuk melaksanakan
potong tangan. Mereka tidak terfikir, apakah perbuatan jenayah (bunuh)
selesai walaupun kanun jenayah sudah lama dilaksanakan di negara ini.
Sudah banyak pengedar dadah digantung dan pembunuh dihukum gantung
(kecualilah pembunuh Altantuya sahaja yang terlepas), tetapi apakah
semua jenayah itu beres?
Berfikir secara mudah (simplistik ala pak pandir) begitu samalah dengan
orang yang tidak tahu dengan hal ehwal dunia penerbangan dan mudah
mempercayai kata-kata para pakar pencarian kononnya kapal MH370 itu
tenggelam di lautan Hindi dan akan diketemui apabila gerakan mencarinya
secara besar-besaran dilakukan. Jelas mereka yang berangapan demikian
tertipu dengan segala teori dan keyakinan yang palsu itu. Jauh sekali
untuk merasakan mereka dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar.
Nah, kini hukum hudud telah jadi sebiji macam pesawat MH370.
Perlaksaanya di negara ini dengan adanya Perlembagaan yang sedia ada,
dengan kemajmukan komunitinya, sama seperti harapan untuk menemui MH370
yang hilang entah di mana lokasi itu. Ia bukan "semesek" untuk
dilaksanakan. Ia hanya menjadi igauan dan angan-angan sahaja, seperti
igauan untuk menemuinya MH370 itu yang sebenarnya mungkin disembunyikan.
Hudud tidak akan dapat dilaksanakan selagi Perlembagaan tidak dipinda.
Manakala kerja untuk meminda Perlembagaan itu saling tidak tumpah
samalah dengan kerja untuk menghalau orang Cina, India dan bukan Islam
lain agar pulang ke benua kaum mereka. Ia tidak mungkin terjadi kerana
mereka adalah warganegara ini. Jadi apa?
Apa yang kena dilakukan terlebih dahulu ialah memberi kefahaman kepada
mereka sedalam-dalamnya seperti mana mereka tahu orang Islam (Melayu)
terikat dengan hukum-hukum syariat seperti termaktub dalam rukun Islam.
Ertinya orang Melayu kena menjadikan hudud itu sebagai rukun Islam.
Apakah proses penyedar dan dakwah ke atas mereka sudah dilakukan
sesempurnanya?
Apa lagi angan-angan dan harapan hudud itu akan "terlepai" begitu saja
kalau isunya sengaja dilambung tinggi-tinggi kerana ingin untuk mendapat
political mileage dan bukan dibuat atas nawaitu kerana Lillahitaala.
Di sini satu perkara saja saya nak sebut dan tegaskan, hudud akan jadi
seperti MH370 dan ianya semacam dibuat secara acuh tidak acuh sahaja.
Kenapa? Pertama, Pas sendiri tidak pernah bersungguh untuk melaksanakan
hukum hudud. Dalam masa 21 tahun selepas Kanun Jenayah Syariah II
diluluskan oleh DUN Kelantan, sampai sekarang ini ia tidak diwartakan
walaupun ia diperkenankan Sultan.
Kedua, kerajaan negeri tidak pernah menubuh sebarang institusi untuk
merangka persiapan ke arah pelaksanaannya termasuk persediaan hakim,
pendakwa, pegawai penyiasatan, pegawai sebatan dan potong tangan serta
penjara walaupun ia pernah dicadangkan dan dipersetujui bekas MB Nik
Abdul Aziz Nik Mat.
Ada pimpinan kerajaan Kelantan menyebut kononnya sudah ada beberapa
orang hakim sebagai persediaan untuk melaksanakan hudud. Kita meragui
apa yang dikatakan pemimpin berkenaan. Untuk melantik hakim bukan boleh
dibuat seperti hendak lantik ahli majlis daerah atau penghulu tanpa
mukim. Ia mesti memenuhi undang-undang guaman dan kehakiman. Sekali lagi
ia terikat dengan kehendak Perlembagaan.
Dan apabila disoal oleh wartawan siapa yang hendak melaksanakan hudud
hudud (potong tangan) pemimpin berkenaan terus menunjukkan ke arah
seorang doktor yang juga ahli Parlimen yang kebetulan berada berhampiran
dengannya. Mudah sekali caranya. Selepas orang mempertikaikan dengan
jawaban bodoh beliau itu, baru beliau mengatakan ia akan menggunakan
khidmat pakar bedah. Sekali lagi jawaban dan cadangan pemimpin itu
dipertikaikan pula oleh Presiden Perubatan Malaysia (MMA) cadangan itu
bertentangan dengan kod etika perubatan.
Nampak jelas bahawa kerajaan Kelantan tidak mempunyai prasarana dan man
power (pelaksana) hukum berkenaan. Ia semacam bomoh yang guna teropong
buluh kasat sahaja.
Ketiga, tidak ada jawatankuasa teknikal dan mekanisma pelaksanaan
ditubuhkan. Jawatankuasa teknikal baru ditubuhkan pada 2011, iaitu
setelah 18 tahun kanun hudud itu diluluskan. Kenapa begitu lama? Dan
sepanjang hayatnya, hanya sekali saja jawatankuasa berkenaan
bermesyuarat iaitu pada April 2014. Itupun tanpa kehadiran seorang ahli
jawatankuasanya yang tinggal di Kuala Lumpur, kerana sebaik Ajk
berkenaan tiba di lapangan terbang Kota Bharu beliau berpatah balik
semula ke Kuala Lumpur kerana tidak ada yang datang mengambilnya.
Kelewatan penubuhan jawatankuasa teknikal, kekurangan ia mengadakan
mesyuarat serta kanun itu masih belum digezetkan menjelaskan sikap
sebenar kerajaan Kelantan berhubung hudud. Apakah ia tidak cergas
apabila Dr Mahathir Mohamad mengutuskan surat menghalangnya, di mana
kalau diusahakan juga kononnya Kelantan akan darurat? Kenapa Pas takut
kepada darurat, kerana takut hilang kerajaankah? Di sini boleh
dipersoalkan kerajaan Pas rela bergeluamang dalam dosa kerana tidak
laksananya kerana cintakan kepada kuasa.
Bagaimana pula dengan situasi hari ini. Apakah Pas Kelantan tidak
berkemungkinan akan kehilangan kerajaan apabila ura-ura untuk
melaksanakan hukum hudud itu kerana ia kini ditentang oleh rakan-rakan
Pas dalam Pakatan Rakyat? Apakah Pas mengira rakyat Kelantan semuanya
sudah menerima hudud berpandukan kepada undi diperolehi dalam pilihan
raya? Tetapi apakah Pas tidak mengira rakyat Kelantan yang undi UBN
dalam pilihan raya lalu mereka adalah yang tidak hendakkan hudud? Kalau
mereka ingin hudud sudah pasti mereka akan undi Pas.
Atau pun Pas berfikir Umno hari ini sudah bersama mereka kerana
berpandukan kepada beberapa aksi ditunjukkan oleh pemimpin Umno. Iya
dikuatkan lagi dengan persetujuan menubuhkan jawatankuasa teknikal
seperti mana disebut Muhyiddin Yassin. Dan pertemuan TMB Kelantan Nik
Mohd Amar Abdullah dengan Jamil Khir Baharum semalam mungkin
memperkuatkan lagi keyakinan Pas bahawa Umno ikhlas, tulus dan redha
dengan hudud?
Ingin saya menarik sedikit sahaja perhatian untuk difikirkan oleh para pemimpin Pas yang obses
untuk melaksanakan hukum hudud dalam suasana hari ini. Kenapa selama
ini Umno tidak pernah bersetuju degan Pas dengan agendanya ini. Selama
23 tahun Pas memerintah Kelantan, Umno tidak pernah memberi muka kepada
Pas. Dan Umno sendiri menjadi kerajaan selama 59 tahun tetapi parti itu
tidak pernah pun menyebut ingin laksanakan hudud usah mengusahakannya.
Apa yang pemimpin Umno tidak hina dan perli hasrat Pas itu. Kononnya
kalau hudud dilaksanakan ramai yang kudung tangan di Kelantan bahkan ada
yang "menganjing" kalau hendak makan sup tangan sila ke Kelantan.
Apakah telah berlaku transfomasi hebat didalam Umno dibawah pimpinan
Najib Razak hari ini maka mereka insaf dan sedar terus menerima hudud?
Hakikat yang perlu diketahui, Umno hari ini sudah kehilangan banyak
darah. Sokongan kerajaan yang ditulanginya sudah berkurangan 2% suara
popular, dan sudah dua penggal kehilangan majoriti 2/3 di parlimen. Umno
menyedari akan bahaya di hadapan. Kerjasama tiga buah parti dalam
Pakatan Rakyat, DAP, Pas dan PKR diinsafi boleh menyebabkan mereka
kehilangan kerajaan. Jadi Umno kini sedang mencari talian hayat untuk
mengekalkan kerajaanya.
Tidakkah tali hayat itu dengan bergantung kepada Pas menerusi hudud.
Umno ikut apa kehendak Pas agar Pas berjalan ke arahnya. Lagak Umno
bagaikan seorang tahanan penyamun yang akan ikut saja apa yang dipinta
asalkan ia boleh selamatkan diri. Salah satu yang begitu dighairahi Pas
ialah hudud, maka mereka menggunakan hudud untuk pancing. Percaya dan
yakinlah Umno tidak menjadi baik kalau tidak ada sesuatu. Tempua tidak
akan bersarang rendah kalau tidak ada mengadakan.
Dalam hal ini Umno lebih licik berpolitik berbanding dengan Pas. Ia
sedia menukar arah dan menjadi munafik untuk mempertahankan kuasa.
Keikhlasan Pas dan iltizamnya untuk melaksanakan hukum hudud diambil
kesempatan untuk kepentingannya. Seperti mana kata Tokguru Nik Aziz,
Umno baru boleh dipercayai sekiranya parti itu menukarkan perlembagaanya
dari sekular kepada Quran.
Tidak arif pula saya mungkin dalam diam-diam Umno sudah pun menukarkan
perlembagaanya daripada sekular kepada Quran. Namun kesahihan hal ini
akan terbukti apabila Nik Aziz mencadangkan agar Pas dibubarkan semua
ahli akan masuk Umno? Sebab beliau pernah bermadah sekiranya Umno
menukarkan perlembagaannya kepada al-Quran dan al-Hadith beliau sendiri
akan nasihatkan Pas agar dibubarkan. Tetapi yang nyata pengisytiharan
itu masih belum didengari.
Hudud lebih kurang dan kurang lebih dengan MH370 dimana penyelesaian
terhadapnya terus misteri dan tertanya-tanya bagi mereka yang tidak
dapat membaca kilau dalam kilat di dunia politik. Bagi mereka sudah arif
yang bangau boleh berdiri satu kaki dalam air, tidak merasai hairan dan
pelik lagi dengan ulah dan perangai Umno
Tiada ulasan:
Catat Ulasan