Isnin, 12 Mei 2014

'Hudud boleh bendung pendakwaan terpilih?'

MALAYSIAKINI


 


Presiden Majlis Peguam Christopher Leong mempersoalkan kemampuan pelaksanaan hukum hudud di Mahkamah Syariah dalam membendung masalah pendakwaan terpilih, walau ia memperuntukkan hukuman yang lebih berat.

Sedangkan, masalah pendakwaan terpilih itu juga berlaku di mahkamah sivil, katanya dalam satu forum anjuran biro perundangan Pemuda MCA di Kuala Lumpur semalam.

Leong berkata demikian dalam sesi kedua forum itu, yang turut menampilkan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang dan Pengerusi jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam Firdaus Husni.

Beliau turut mengulas hujah dari pemimpin Umno mengenai pelaksanaan hukum hudud itu, yang mengemukakan pandangan dari sudut agama bahawa pelaksanaan undang-undang hudud perlu digantung jika keadaan tidak sesuai.

"Jika terdapat pakatan sulit dalam membawa pertuduhan yang merupakan pendakwaan terpilih, dan anda tidak ada badan kehakiman yang bebas rasuah, adakah itu satu persekitaran yang kondusif (untuk melaksanakan undang-undang hudud?)

"Melihat kepada apa yang berlaku di Malaysia, anda pasti boleh mengimbas semula contoh penyalahgunaan kuasa yang berlaku...," katanya selepas mengemukakan pandangannya dengan panjang lebar mengenai kekangan dari segi perlembagaan berhubung undang-undang hudud.

Beliau menegaskan walaupun di bawah sistem undang-undang sivil menunjukkan penjenayah berkuasa sering terlepas daripada hukuman, hanya manusia biasa akan didakwa dan disabitkan dengan sebarang kes jenayah contohnya kes rasuah.

Beliau menegaskan dengan adanya sistem perundangan yang berkuasa namun masih ada tertuduh yang terlepas, manakala hanya orang biasa didakwa dan disabitkan bersalah, contohnya dalam kes rasuah.

Tiada ulasan: