Jumaat, 23 Mei 2014

Hamper untuk warga estet, Kulasegaran mohon BN henti sogok pengundi

photo (3)


Roketkini.com


TELUK INTAN – Barisan Nasional terus menyalahgunakan media, wang dan jentera kerajaan untuk berkempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan.

Kali ini perbuatan tersebut disaksikan sendiri oleh Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M. Kulasegaran, ketika pasukan perayu undi yang diketuainya melawat estet Nova Scotia.

“Sambil kami berkempen, kami nampak banyak kereta diletakkan berhampiran sebuah dewan. Ketika kami mendekati dewan tersebut, kami lihat orang ramai sedang keluar dengan membawa hamper yang bernilai lebih kurang RM150 setiap satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kami diberitahu bahawa majlis tersebut ditaja oleh penyokong BN, dan hamper diberikan kepada orang tempatan yang juga pengundi kawasan Teluk Intan,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, sebelum itu kumpulannya dihalang daripada memasuki kawasan estet. Namun setelah berhujah bahawa rakan-rakan BN sudah pun masuk ke estet tersebut, mereka dibenarkan masuk.

“Di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya, sebarang perbuatan sogokan untuk membeli undi adalah satu kesalahan,” ujar Kula yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat.

Namun katanya pihak penguatkuasa jarang-jarang sekali menggunakan undang-undang terbabit bagi mendakwa mereka yang melanggarnya.

“Saya pasti perbuatan sogokan begini memang banyak berlaku. Suruhanjaya Pilihan Raya dan pihak berkuasa mesti mengambil tindakan,” tambah beliau lagi.

Kula justeru menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengarahkan juru kempen BN supaya bersaing secara adil, dalam pilihanraya yang bersih dan bebas.

Undi Dyana, Mah akan dilantik menteri

Tempoh kempen PRK Teluk Intan masuk hari kelima dengan keseluruhan jentera kempen BN kini ditempatkan di sana setelah parti tersebut enggan bertanding dalam PRK Bukit Gelugor yang bakal selesai dua hari lagi.

Calon DAP Teluk Intan, Dyana Sofya berhadapan presiden Parti Gerakan Datuk Mah Siew Keong.
Mah pernah menjadi wakil rakyat kawasan terbabit selama dua penggal sebelum tewas dalam dua pilihanraya berturut-turut pada 2008 dan 2013.

Bagi Kula, PRK kali ini memberi implikasi dan makna yang besar terhadap politik tanah air, demi memecahkan politk perkauman BN selain menjadi referendum mini terhadap pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Walaupun Mah enggan mengaku, hakikatnya jelas. Kalau dia kalah PRK ini, Mah pastinya akan dilantik sebagai Senator dan kemudian dijadikan menteri,” ulas Kula.

“Dalam senario ini, warga Teluk Intan patut mengundi Dyana sebagai wakil rakyat Muslim wanita DAP yang pertama dan memberi laluan pintu belakang untuk seorang menteri dari gerakan,” ujarnya.

PRK Teluk Intan diadakan setelah wakil rakyat sebelum ini, mendiang Seah Leong Peng yang juga daripada DAP meninggal dunia akibat barah. Rakyat Teluk Intan akan mengundi pada 31 Mei ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: