Selasa, 13 Mei 2014

Guru maut dalam kemalangan di Jalan Bentong-Raub

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Seorang guru terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas dan bertembung dengan sebuah treler membawa muatan baja, di Km 19 Jalan  Bentong-Raub, dekat Bentong awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata Mohd Arnaz Aboo Hassan, 41, dari Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang meninggal dunia di Hospital Daerah Bentong kira-kira tiga jam selepas nahas pukul 2.05 pagi itu.

Kejadian turut menyebabkan pemandu lori Mohd Firdaus Ahmad, 29 dan kelindannya Dorowee Awang Kechik, 22, kedua-duanya berasal dari Kelantan, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, katanya hari ini.

Mohamad berkata berkata nahas berlaku ketika guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang itu dalam perjalanan dari arah Raub ke utara.

"Ketika tiba di tempat kejadian, MPV yang dipandu mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang membawa baja tersebut," katanya.

Akibat pertembungan itu, mangsa dilapor tersepit di tempat duduk pemandu manakala treler berkenaan terbalik menyebabkan muatan baja yang dibawa bertaburan di atas jalan, katanya.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong yang tiba di tempat kejadian mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Selain itu, dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Viva yang datang dari arah Raub turut berlanggar sesama sendiri kerana cuba mengelak daripada merempuh treler berkenaan yang melintang di tengah jalan.

Beliau berkata ketika kejadian keadaan di kawasan tersebut gelap kerana tiada lampu jalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Tiada ulasan: