Jumaat, 23 Mei 2014

DAP nasihatkan ahli bertenang hadapi provokasi

SALMIYAH HARUN 



 


KUALA LUMPUR: DAP menasihatkan ahli-ahlinya agar tidak membuat sebarang provokasi ekoran tindakan biadap sekumpulan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang mengancam membakar ibu pejabat parti itu semalam.

Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng percaya ancaman pemuda Umno itu bertujuan untuk mengacau perjalanan kempen DAP bagi dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Kita tahu ini bertujuan untuk mengacau PRK kita, sehingga Dyana Sofya pun diugut.

"Kita lihat dari Pulau Pinang, Teluk Intan sampai ke Kuala Lumpur. Umno sekarang banyak samseng. Mereka berkelakuan begitu biadap sekali," katanya dalam sidang media sejurus berakhirnya sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

Guan Eng menyifatkan tindakan pemuda Umno itu satu perbuatan yang sangat bahaya dan mendesak pihak polis menghadapkan mereka ke mahkamah.

"Kita amat terkejut dengan ugutan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan datang ke ibu pejabat DAP dan bertindak begitu biadap. Apabila datang hantar memorandum boleh cucuk hidung salah seorang ahli DAP.

"Kemudian koyakkan memorandum dan baling kepada MP Serdang yang datang untuk menerima memorandum itu. Ada laungan di kalangan ahli-ahli Umno untuk membunuh mereka yang ada dalam ibu pejabat DAP. Saya rasa ini sudah keterlaluan. Saya pun tak faham adakah ini pendekatan dasar baru Umno?" tegasnya.

Guan Eng yakin tindakan ganas pemuda Umno itu didorong oleh kegusaran hakisan sokongan rakyat kepada BN dalam PRK Teluk Intan.

Beliau turut mempersoalkan kegagalan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk mendisiplinkan para anggotanya.

"Inilah muka liberal Umno sekarang.  Kalau inilah caranya, tidak ada harapan untuk Umno menjadi kerajaan dan pemimpin rakyat bagi memerintah negara ini," katanya.

Semalam kira-kira 50 pemuda Umno telah bertindak ganas di hadapan ibu pejabat DAP di Pudu dengan merempuh halangan polis dan merosakkan papan tanda parti itu.

Mereka menuntut DAP mengenakan tindakan disiplin kepada Adun DAP RSN Rayer yang melabelkan tiga pemimpin Umno negeri sebagai 'celaka' kerana cuba menghidupkan sentimen 13 Mei.

Tiada ulasan: