TELUK INTAN: DAP hari ini melancarkan 'Trak Ubah untuk Dyana' bagi menyemarakkan lagi kempen parti itu berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.
Pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersama beberapa lagi pimpinan DAP pada satu majlis di kawasan bagunan kedai Jalan Intan 5, Bandar Baru Teluk Intan, di sini hari ini.
Di bahagian luar trak tersebut antara lain memaparkan gambar Dyana dengan tulisan "Teluk Intan Bersatu Hati Pilih Dyana, Undi DAP".
Pada ruang sama di sudut kanan, turut memaparkan wajah tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat iaitu Guan Eng, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Trak sama tersebut sebelum ini digunakan oleh DAP dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Ia dilengkapi dengan sistem pembesar suara dan pentas pasang siap untuk kegunaan ceramah.
Dyana dalam ucapannya sebelum pelancaran trak itu berkata, beliau teruja dengan usaha jentera parti itu dan diharap pendekatan baru itu mampu membantu beliau untuk bertemu lebih ramai pengundi.
"Saya harap usaha ini akan meningkatkan lagi momontem kempen kita untuk mengharungi hari-hari yang masih berbaki ini," katanya penuh bersemangat. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan