DAP enggan ulas isu kekecohan Suasana kecoh di pekarangan pejabat DAP di ibu negara petang tadi. - Foto Sinar Harian oleh FATHIN ATHIRAH HASLI



KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming enggan mengulas lebih lanjut mengenai kekecohan yang dicetuskan oleh sekumpulan wakil dari 13 bahagian Pemuda Umno Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Menurutnya, insiden tersebut sememangnya sudah dijangka oleh pihaknya sejak awal lagi.

"Saya tak mahu ulas lebih lanjut namun kami sudah jangka akan berlaku kekecohan seperti ini akan berlaku," katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden kegagalan penyerahan memorandum yang bertujuan menyelar Adun DAP Sri Delima, RSN Rayer kerana mengeluarkan kata-kata kesat ke atas Umno dan masyarakat Melayu pada sidang Dun Pulau Pinang, baru-baru ini.

Situasi penyerahan memorandum bertukar gawat apabila salah seorang ahli DAP yang berkawal di bahagian hadapan pejabat mengeluarkan kata-kata yang mencetuskan kemarahan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii yang kemudiannya bertindak mengoyakkan memorandum dan melemparkannya tepat ke wajah Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming.

Kumpulan bantahan hanya bersurai apabila hujan lebat mula turun membasahi lokasi kejadian petang tadi.