SUNGAI BULOH - Ketua wartawan Sinar Harian edisi Selangor kehilangan radio, plat, cukai jalan dan wang tunai RM100 apabila cermin keretanya dipecahkan penjenayah di tempat parkir Pangsapuri Saujana, Jalan Uranus, di sini, semalam.
Nurkhairini Jumari berkata, dia mengetahui cermin kereta Proton Perdana V6nya itu dipecah setelah beberapa anggota polis datang ke rumahnya, kira-kira jam 9 pagi, semalam.
"Ketika itu saya sedang bersiap hendak ke pejabat. Polis tahu mengenai kejadian ini selepas diberitahu oleh penduduk di sini yang melihat cermin kereta saya dipecah penjenayah," katanya.
Dia berkata, pada malam sebelum kejadian tersebut, dia meletakkan keretanya itu di kawasan parkir berkenaan selepas pulang dengan suaminya kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.
"Saya sudah periksa semua pintu kereta dan menguncinya sebelum masuk ke rumah," katanya.
Menurutnya, penjenayah berkenaan memecah cermin bahagian hadapan sebelah kiri keretanya dan mencuri cukai jalan, radio dan RM100 di dalam tempat meletak syiling dan mencabut nombor plat depan dan belakang kereta.
"Saya risau kalau mereka guna nombor plat dan cukai jalan kereta saya untuk melakukan jenayah memandangkan sejak kebelakangan ini, banyak jenayah seperti itu berlaku.
"Jadi, saya berharap polis mempertingkat rondaan di kawasan perumahan saya supaya kejadian seperti ini tidak berulang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan