Seorang wanita Islam Malaysia yang tinggal di New York menyangkal
fitnah dakwaan kononnya beliau menganut agama Kristian seperti
terkandung dalam sebuah artikel yang tersebar luas di laman sosial.
Adila Hussin McGhee, 43, berkata: "Saya masih seorang Islam, saya masih percaya dengan Allah Tuhan yang Esa dan Nabi Muhammad.
"Saya tahu apa yang baik dan buruk dalam ajaran agama. Jangan percaya fitnah orang," katanya.
Berita mengenai wanita lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia dari Ipoh
ini, heboh dikatakan sudah murtad dalam Internet gara-gara artikel yang
diterbitkan oleh sebuah badan sukarela wanita yang berkait dengan kerja
amal gereja di Amerika Syarikat (AS).
Artikel itu menyebut kononnya beliau sedia berkongsi “cerita dari hati”
bagaimana beliau menganut agama Kristian semasa berada di Malaysia lagi
selepas perkahwinan pertamanya gagal.
Adila yang suka melakukan kerja amal di daerah tempat tinggalnya itu,
berpindah ke Virgina selepas berkahwin untuk kali kedua dengan seorang
warga AS, dan kini tinggal di sebuah pekan kecil di daerah Richmond.
Semasa dihubungi dari New York, bekas pelajar Kolej Islam Klang, (KIK)
Selangor itu menyangkal dakwaan yang beliau sudah menganut agama
Kristian.
“Saya amat sedih kerana nama saya diaibkan dan ini satu pembohongan
tentang diri saya, saya langsung tidak pernah bertemu atau ditemuramah
oleh penulis artikel itu.
"Malah semasa saya memberi penerangan mengenai Malaysia itu, ia
dihadiri oleh kumpulan wanita saja," kata Adila yang kini menjadi tenaga
pengajar Bahasa Melayu di Diplomat Language Center di Washington DC.
Adila dicap murtad oleh segelintir rakyat Malaysia yang 'termakan' dengan kandungan artikel berkenaan.
“Saya sedih tidak tahu hendak mengadu kepada siapa apabila mengetahui
mengenai perkara ini, semua orang sudah mempercayai fitnah yang mereka
dengar, tanpa usul periksa.
"Saya sudah terangkan perkara sebenar kepada ibu bapa, dan bimbang
perkara ini boleh
menyebabkan anak-anak saya akan dipulaukan,” kata
Adila yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya.
Beliau berkata, kerja amal beliau sudah disalahertikan.
"Saya juga ada membuat perniagaan sabun buatan tangan dan saya perlu meluaskan pasaran untuk menjual sabun saya.
"Oleh itu saya ke pejabat daerah berhampiran tempat tinggal saya dan
mereka memperkenalkan saya kepada seorang pegawai untuk memasarkan
produk saya," katanya.
Beliau membuka gerai semasa hari pesta menuai di pekan kecil, Bowling
Green dan gerai berkenaan bertempat di sebuah gimnasium di sebuah gereja
di situ.
Daripada situ beliau mengenali penduduk tempatan yang kemudian
menjemputnya memberi ceramah untuk persatuan wanita yang ingin mengenali
Malaysia.
“Saya memberi ceramah mengenai Malaysia bermula daripada sejarah
sebelum dan selepas merdeka, geografi, cuaca, ekonomi, penduduk,
makanan, budaya, agama dan lain-lain.
"Saya amat terkejut kerana ramai yang tidak tahu di mana Malaysia. Mereka cuma tahu bahawa Malaysia adalah negara Islam.
“Selain memperkenalkan tanah air kita kepada mereka, saya juga
menerangkan bagaimana wanita Malaysia berjaya dalam kehidupan mereka
serta memegang pelbagai jawatan tinggi di semua peringkat, dan boleh
memandu,” katanya.
Adila dan suaminya F McGhee sudah menghubungi pengurusan gereja yang
menjemputnya memberi ceramah mengenai Malaysia itu, untuk berbincang
tentang penulisan artikel berkenaan dan mahu pihak pengurusan berbuat
sesuatu untuk membersihkan namanya.
Adila juga mendakwa gambar di laman Facebooknya termasuk gambar semasa
beliau belajar di KIK turut dimuat turun dan disebarkan di laman sosial
lain.
Katanya, beliau juga diganggu dengan pelbagai tohmahan menerusi emel, teks dan panggilan telefon.
“Saya juga kesal kerana nama beberapa kawan saya semasa di KIK turut
dikaitkan dalam tohmahan ini, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa,”
katanya. - Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan