SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) menganggap kenaikan saraan untuk anggota pentadbiran kerajaan negeri, Speaker dan Timbalan Speaker juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu adalah berpatutan serta wajar.
Shamsuddin (gambar, kanan) berkata, hal itu berikutan kenaikan terakhir pada 2011 yang dilakukan perlu dikaji semula selaras dengan meningkatnya bebanan tugas tanpa mengira masa, perbelanjaan untuk masyarakat yang diwakili dan kos sara hidup semakin meningkat.
“Memang wajar sebab ia selaras daripada aspek pelarasan gaji yang dibuat di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan juga aspek kutipan hasil Selangor yang semakin meningkat.
“Adun Selangor dinaikkan tidak melebihi 70 peratus daripada kenaikan yang diterima Adun di Sarawak,” katanya di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Shamsuddin menganggap kenaikan itu adalah motivasi kepada semua yang terbabit dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasan masing-masing.
Adun (PKR-Seri Muda) Shuhaimi Shafiei (gambar, kiri) pula menganggap keputusan itu adalah satu inisiatif kepada semua pihak terbabit dalam menjayakan dasar kerajaan negeri.
“Ia satu semakan semula memandangkan ia kali terakhir pada 2010 hanya membabitkan Adun tetapi kali ini secara menyeluruh termasuk gaji Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker.
"Kita harap ia akan menyuntik semangat semua anggota kerajaan dan legislatif dalam mengurus tadbir lebih baik lagi,” katanya.- Selangorkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan