Khamis, 28 November 2013
PAC minta Kastam beri penjelasan rampasan kereta mewah
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk melihat jumlah luar biasa penjualan kereta mewah di pulau bebas cukai Labuan dan Langkawi selepas rampasan beberapa kereta mewah berikutan tidak membayar duti dan cukai, baru-baru ini.
The Malaysian Insider difahamkan, jabatan tersebut sudah mengesan kenderaan mewah beberapa pemimpin korporat dan pegawai tertinggi kerajaan yang kini berhutang duti tidak berbayar dengan nilai jutaan ringgit.
Sesetengah kenderaan mewah dibawa ke tanah besar menggunakan nombor pendaftaran Gagasan 1 Malaysia atau G1M untuk menyembunyikan fakta ia dibeli di pulau bebas cukai itu yang hanya boleh dibawa keluar selama tiga bulan.
“Kastam sudah diarahkan untuk melihat jika terdapat sindiket atau orang besar ini melarikan diri daripada cukai dengan membeli kereta bebas cukai, tetapi menggunakannya di luar,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
“Kastam harus menyiasat perkara itu kerana ia merupakan hasil kepada kerajaan,” katanya.
Satu lagi sumber daripada PAC mengesahkan permintaan tersebut dan berkata, pegawai kastam akan memberi taklimat kepada jawatankuasa itu pada minggu hadapan berhubung hasil penyiasatan mereka.
“Kami mahu tahu mengapa terdapat jumlah luar biasa kenderaan mewah terjual di Langkawi tetapi tidak dapat ditemui di sana.
“Melainkan penduduk Langkawi semuanya kaya-kaya, apakah terdapat penyelewengan berlaku dan kita mahu kastam menyelesaikannya,” katanya.
Media melaporkan bulan lalu, kastam merampas 22 kereta mewah pelbagai jenama berdaftar di pulau bebas cukai Labuan dan Langkawi, bernilai kira-kira RM25.8 juta kerana tidak membayar duti kastam, menjadikannya rampasan terbesar jabatan itu tahun ini.
Ia dirampas di Lembah Klang dan Perak sehingga membawa kepada penangkapan 12 suspek berumur 20-an dan pemandu lori treler berumur 50 tahun yang membawa empat kenderaan tersebut, menurut laporan New Straits Times.
Kereta mewah pelbagai jenama itu adalah 15 Ferrari, Rolls Royce (1), Lamborghini (3), Bently (1), Porche (1) dan sebuah Nissan GTR 365.
Menurut laporan tersebut, salah satu serbuan kastam yang menyebabkan 12 kenderaan berjaya dirampas adalah di sebuah majlis mewah di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Sesetengah kereta tersebut mempunyai nombor pendaftaran asal KV (untuk Langkawi), LE (untuk Labuan) atau G1M (Gagasan 1 Malaysia), manakala sesetengahnya menggunakan nombor pendaftaran palsu. Selebihnya dipercayai merupakan kereta curi.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad dilaporkan tidak memberikan penerangan lanjut apabila ditanya mengenai suspek dan sama ada terdapat sindiket terlibat, dan hanya perkara itu masih dalam siasatan.
“Saya tidak boleh memberikan penjelasan lanjut. Siasatan masih berjalan. Kami tahu apa yang berlaku tetapi suspek main sorok-sorok. Terima kasih kepada maklumat awam, kami berjaya menangkap mereka,” katanya.
Khazali berkata, tidak salah bagi seseorang untuk memiliki kenderaan mewah tetapi ia perlu dilakukan mengikut undang-undang.
“Menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan untuk memastikan ia sah. Tambahan lagi jika kenderaan mewah dijual di bawah harga pasaran,” katanya.
Beliau berkata, semua 22 kenderaan itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana melanggar kesalahan mengikut Butiran 21A, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 1988 yang hanya membenarkan kenderaan untuk dibawa ke tanah besar selama 90 hari dalam setahun.
"Mengikut butiran ini, kenderaan yang dibeli di Pulau Bebas Cukai (PBC) Langkawi dan Labuan dibenarkan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tidak melebihi 30 hari bagi satu-satu permohonan dan tidak lebih 90 hari dalam setahun," katanya.
Khazali berkata, siasatan awal mendapati pemilik kenderaan itu bukan penduduk tetap PBC Langkawi dan Labuan yang tidak layak untuk mendapat kemudahan pengecualian di bawah butiran tersebut.
"Kenderaan tersebut didapati digunakan di KUK melebihi tempoh enam bulan dan secara automatik melanggar syarat di bawah butiran 21A dan kenderaan itu menjadi barang belum lulus kastam," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, modus operandi yang digunakan ialah wakil penjual kenderaan menjual kenderaan kepada pembeli di KUK tanpa memasukkan elemen duti/cukai.
Perbuatan itu dilakukan dengan menghantar kenderaan ke PBC dan mendaftar kenderaan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan dengan menggunakan alamat palsu pembeli di PBC.
“Kenderaan kemudian dibawa masuk ke KUK dengan menggunakan kemudahan di bawah butiran 21A. Bagaimanapun, kenderaan itu tidak kembali ke PBC selepas tamat tempoh," katanya.
Sementara itu, katanya, pihaknya mengenal pasti 379 kenderaan melanggar syarat di bawah Butiran 21 A, dan ia akan bekerjasama dengan agensi lain termasuk polis untuk menyenaraihitam kenderaan berkenaan.
“Jika didapati bersalah, seseorang boleh disaman 20 kali ganda daripada jumlah harga kenderaan, tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan