Khamis, 28 November 2013

Pepatah "Hendak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih" Tidak Pernah Berbohong

shahbudindotcom


Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi bahawa kertas siasatan tidak dapat dibuka berhubung dakwaan yang dibuat oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah KL, Mat Zain Ibrahim terhadap Peguam Negara, Gani Patail kerana akaun bersumpahnya bukanlah laporan polis, sebenarnya menimbulkan lebih banyak tanda-tanya kepada umum.

Ia hampir mengesahkan kebenaran dakwaan Naib Presiden PKR, N Surendran bahawa ia merupakan konspirasi untuk menutup kesalahan yang dilakukan oleh pegawai kanan kerajaan itu sedangkan akaun bersumpah Mat Zain itu mempunyai merit untuk dilakukan siasatan.

Kenyataan Zahid ini juga bertentangan sama-sekali dengan kenyaaan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebelum ini yang menyatakan kes yang melibatkan Gani bukanlah bidang kuasa polis untuk menyiasatnya tetapi dibawah SPRM. Khalid tidak menyebut tentang perlunya laporan polis.

SPRM pula sehingga kini masih bisu tanpa bahasa walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed baru-baru ini telah dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Penguatkuasaan Anti Rasuah Antarabangsa atau IAACA dan Najib juga berbangga dengan perlantikan itu.

Jika dulu siasatan tidak dilakukan kerana dikatakan bukan dibawah bidang kuasa polis tetapi kini dikatakan pula tiada laporan polis dan akaun bersumpah bukanlah laporan polis. Nampaknya macam pelbagai alasan dan helah sedang dicari untuk tidak menyiasat Gani Patail ini.

Secara umumnya juga, isu yang dibangkitkan mengenai Gani adalah melibatkan kepentingan awam, selain pelbagai pihak juga sudah meminta agar polis menjalankan siasatan. Peguam terkenal, Karpal Singh juga berpandangan bahawa polis boleh menjakankan siasatan tanpa menunggu laporan polis kerana ia pernah belaku sebelum ini.

Bahkan, menurut Karpal, pihak polis juga boleh membuat laporan polis mengenainya.

Namun demikian, kiranya Zahid terlepas pandang dan mengatakan siasatan mengenai Gani tidak dapat dilakukan kerana Mat Zain tidak membuat laporan polis, sebaliknya hanya membuat akaun bersumpah, sebenarnya Solidariti Anak Muda Malaysia atau SAMM sudah pun membuat beberapa laporan polis mengenai Gani.

Apakah laporan polis SAMM itu tidak mencukupi dan memerlukan Mat Zain juga membuat laporan polis?

Tetapi dalam beberapa kes sebelum ini, ada siasatan polis dilakukan tanpa pihak yang menuduh membuat laporan polis. Dalam kes antara Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza beberapa tahun lalu, polis telah menjalankan siasatan berhubung email yang dikatakan memburukkan memburuk-burukkan Siti Nurhaliza walaupun penyanyi itu tidak membuat laporan polis, sebaliknya laporan polis dibuat oleh seorang wartawan hiburan.

Jika kes itu boleh dijadikan rujukan, pihak polis sebenarnya sudah boleh membuka kertas siasatan keatas Gani berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh SAMM itu dan tidak perlu menunggu sehingga Mat Zain membuat laporan polis mengenainya.

Tetapi jika itu yang disyaratkan oleh Menteri Dalam Negeri yang baru saja mendapat undi tertinggi dalam pemilihan UMNO dan dilihat tegas sebelum ini, dan supaya tiada lagi alasan untuk melindungi Gani Patail, maka ada baiknya agar Mat zain segera membuat laporan dan lampirkan sekali akaun bersumpah yang telah dibuatnya.

Apa yang berlaku sekarang ini, ternampak bahawa pelbagai alasan dan helah sedang dicari untuk tidak menyiasat Gani Patail ini walaupun hampir semua rakyat yang prihatin dan mempunyai akses kepada maklumat, sudah memperkatakan mengenainya dirinya.

Sudah pelbagai perkara diperkatakan oleh rakyat mengenainya tetapi dakwaan Mat Zain bahawa Gani menerima rasuah dalam sejumlah wang yang besar dipercaya beratus-ratus juta dalam kes kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dan transaksi wang itu berlaku di Hong Kong adalah tuduhan paling serius dan melibatkan aspek pengkhianatan paling besar kepada negara.

Perlakuan itu tidak boleh diterima sama-sekali oleh sesiapa pun yang waras dan jawapan Zahid Hamidi bahawa kertas siasatan tidak dapat dibuka kerana tiada laporan polis bukanlah jawapan yang diharapkan oleh oleh rakyat. Ia juga bukanlah jawapan daripada seorang menteri yang bertanggungjawab tetapi lebih kepada jawapan untuk "mengelak" dan "mengelat".

Daripada Ketua Polis Negara menolaknya kepada SPRM dan SPRM terus bisu, kini Zahid pula seperti berdalih dengan mengatakan akaun bersumpah bukanlah laporan polis, barangkali jika Najib mendapat ilham untuk membuka mulut dan bersuara pula selepas ini, jawapannya barangkali sudah boleh dijangka. Ia pasti tidak tergelincir daipada garisan mahu mempertahan dan melindungi Gani Patail.

Maka terbuktilah pepatah orang tua-tua, "hendak seribu daya, tak nak seribu dalih" sentiasa benar sampai bila-bila pun

Tiada ulasan: