SHAH ALAM – Pindaan perlembagaan yang dibuat Sabtu lalu tiada kaitan dengan tindakan cabang PKR Sabah yang keluar parti, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pindaan perlembagaan yang dibuat melibatkan Sabah dan Sarawak namun masih ada pemimpin PKR Sabah yang keluar parti.
Pemimpin 11 cabang PKR Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti dan menyokong BN, semalam.
Sebelum ini, Adun Kadamaian, Jeremy Malajad dan Adun Matunggong, Datuk Jelani Hamdan turut bertindak keluar parti.
“Keseluruhan perlembagaan itu dipinda untuk memantapkan lagi operasi dan kelancaran parti serta memberi autonomi kepada Sabah dan Sarawak.
“Jadi, kenapa mereka keluar (parti), itu saya rasa menjadi tanda tanya. Mungkin ada rasa tak puas hati kerana ada antara mereka yang tidak mendapat jawatan.
“Masalah mereka keluar masuk parti itu tak ada kaitan dengan pindaan Perlembagaan parti. Masih banyak lagi yang kita nak lihat, cabang-cabang yang masih ada di Sabah,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.
Beliau tidak menafikan wujud campur tangan parti lain dalam insiden keluar parti itu ekoran keberadaan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada beberapa sidang media pengumuman keluar parti itu.
“Mungkin masalah yang kita boleh baca adalah masalah kewangan. Mungkin ada unsur-unsur...ada imbuhan untuk melakukan perkara (keluar parti) itu. Ramai yang beranggapan begitu dan saya percaya mungkin ada kebenaran di sebalik tanggapan itu.
“Campur tangan pusat ini adalah satu alasan sama seperti yang kita dengar dengan alasan dua Adun yang keluar parti sebelum ini. Mereka juga kata masalah campur tangan Pusat. Tujuan mereka berkata begitu sebenarnya untuk memburukkan imej parti.
“Kalau kita lihat, mereka keluar parti dengan kehadiran Datuk Seri Najib. Jadi, tak boleh tidak, kita kena anggap bahawa ada unsur-unsur atau ada tangan-tangan gelap yang terlibat. Jadi, untuk berkata bahawa ada campur tangan pusat, itu tidak memberi gambaran yang jelas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menafikan pindaan perlembagaan yang dibuat bertujuan untuk menarik undi dari Sabah dan Sarawak.
“Azam PR iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah tiga komponen besar dalam penubuhan Malaysia, jadi, kita kena iktiraf bahawa Sabah dan Sarawak adalah ‘equal partner’ yang berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan Semenanjung.
“Kalau nak menang besar untuk menuju ke Putrajaya, bagi sayayang perlu diberikan penekanan adalah pengundi di luar bandar yang di Semenanjung. Jadi, kalau nak kata sedemikian (pindaan itu untuk pancing undi di Sabah dan Sarawak) mungkin kurang tepat.
Sejak penggal parlimen yang lepas, PR telah konsisten mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak perlu diberikan keutamaan, sebab itu kita minta naikkan royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak. Jadi, tanggapan itu kurang tepat,” katanya.
Sabtu lalu, PKR meminda perlembagaannya buat kali keempat yang antara lain bertujuan memberi lebih suara dan kuasa kepada ketua parti dari Sabah dan Sarawak untuk membuat keputusan di peringkat pusat dan negeri.
Pindaan itu juga menetapkan satu daripada tiga jawatan naib presiden yang dilantik akan diperuntukkan kepada Sabah atau Sarawak bagi menggalak penglibatan anggota-anggota dari kedua-dua negeri itu dalam proses membuat keputusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan