SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad membayar ganti rugi RM300,000 kepada Datuk Dr. Hasan Ali setelah didapati memfitnah Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati) itu.
Hakim Datuk Yaacob Md. Sam turut menetapkan kos sebanyak RM20,000 perlu dibayar oleh Khalid kepada Hasan pada prosiding bagi menetapkan jumlah ganti rugi dan kos dalam kes saman fitnah membabitkan kedua-dua individu terbabit.
Pada 31 Oktober lalu, mahkamah tersebut memutuskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dalam satu sidang akhbar pada 24 Februari tahun lalu bukanlah satu pembelaan terhadap isu 'pemimpin parasit' yang ditimbulkan oleh Hasan.
Hasan memfailkan saman tersebut pada 12 April tahun lalu selepas Khalid mengeluarkan dakwaan bahawa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga Bhd. sebagai penaja kepada Hasan dan juga Jati.
Khalid dalam pernyataan pembelaannya menyatakan, kenyataannya dalam sidang akhbar itu adalah bagi menjawab 'serangan' Hasan yang menggelarnya sebagai pengkhianat dan pemimpin parasit.
Dalam prosiding hari ini, Hasan diwakili peguam Hasnal Rezua Merican manakala Khalid diwakili peguam, Azhana Mohd. Khairudin.
Selain menetapkan ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi teladan RM100,000, Hakim Yaacob turut menetapkan kadar faedah sebanyak lima peratus dikenakan ke atas jumlah ganti rugi bermula dari tarikh penghakiman sehingga pembayaran penuh. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan