Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : ‘Reformasi’ bergema di Dewan Rakyat hari ini sebaik Ahli Parlimen (MP) Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian (gambar) melaungkan ungkapan keramat itu sewaktu memulakan soalan.
Laungan yang menghangatkan Dewan Rakyat itu mencetuskan tidak puas hati beberapa Ahli Parlimen BN dan mereka membuat bising sebelum Speaker menegur agar senyap.
“Saya jemput Tuan Hee Loy Sian,” kata Speaker.
“Terima kasih, Salam Reformasi. Soalan saya nombor dua Datuk Speaker,” kata Hee membuatkan beberapa Ahli Parlimen BN mencebik-cebikkan mulut dan membuat bising.
“Sila Yang Amat Berhormat Menteri,” balas Speaker.
Ketika Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari bangun dan membacakan Bismillahirahmanirrahim…, sekumpulan Ahli Parlimen BN sekali lagi membuat bising kerana masih tidak berpuas hati terhadap laungan oleh pemimpin KEADILAN itu.
“Jam 1 baru ada durian Yang Berhormat, tak payah makan durian sekarang,” kata Speaker menyindir Ahli Parlimen BN itu merujuk durian yang disediakan di belakang dewan persidangan.
Laungan Reformasi mula terkenal dan menjadi semangat anak muda di negara ini sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim difitnah sehingga dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998.
Sehingga kini, laungan itu terus bergema dalam mana-mana program anjuran KEADILAN dan Pakatan Rakyat pimpinan Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan