Gambar Hiasan
Keluhan seorang Profesor Jusa B, bekas Dekan dari sebuah IPTA
SAYA mulakan surat ini dengan rasa
rendah diri yang amat sangat. Saya merupakan seorang profesor Jusa B
yang kini masih berkhidmat dengan salah sebuah universiti perdana tanah
air. Dalam usia yang kian menuju ambang persaraan dan dengan sedikit
pengalaman yang Tuhan berikan ketika menetap sepuluh tahun di luar
negara, izinkan saya meluahkan perasaan yang sudah tidak dapat
ditahan-tahankan lagi.
Dalam tempoh hampir 30 tahun bergelar pensyarah, saya turut pernah menyandang
jawatan sebagai Dekan juga pengarah dalam beberapa jabatan lain di
universiti. Oleh itu, dengan pengalaman itu saya berpendapat bahawa saya
berhak untuk menyuarakan isi hati setelah suara saya dan rakan-rakan
profesor tidak pernah didengari oleh pihak pendaftar universiti mahupun
Kementerian Pengajian Tinggi.
Bulan April adalah bulan yang paling
ditakuti oleh para pensyarah universiti IPTA kerana penilaian prestasi
(Key Performance Indicator – KPI) mereka akan dinilai. Sejak
kebelakangan ini, apabila KPT terlalu mementingkan “rangking dunia,”
maka ramai (sebahagian besar pensyarah) ini akan mendapat markah di
bawah prestasi 80 markah kerana gagal menerbitkan jurnal bertaraf
antarabangsa (SCOPUS dan ISI).
KPI Pensyarah Malaysia Mengikut ketentuan Kuasa Barat?
Masalah ini kian parah apabila jurnal
SCOPUS dan ISI ini turut menjadi syarat wajib untuk permohonan kenaikan
pangkat. Persoalannya di sini ialah, siapakah yang menentukan
pengiktirafan SCOPUS dan ISI ini? Seperti yang dimaklumi bahawa
pengiktirafan SCOPUS dan ISI ini adalah di bawah bidang kuasa penerbitan
yang bernaung di Barat. Hal ini bermakna juga bahawa KPI pensyarah-pensyarah ini berada di bawah ketentuan kuasa Barat.
Bukankah aneh, seorang kakitangan kerajaan Malaysia, prestasinya
dinilai atau ditentukan oleh negara Barat? Dan, hal ini tidak berlaku
kepada kakitangan awam Malaysia yang lain.
Saya tidak dapat bayangkan bagaimana
seorang kakitangan awam Malaysia, KPInya ditentukan oleh kuasa Barat?
Lebih malang lagi nasib ini menimpa kepada pensyarah yang berada dalam
bidang sains sosial yang kajian dan penyelidikan mereka benar-benar
terbatas kepada mempertahankan maruah dan nasib bangsa, agama, bahasa,
sejarah, sastera dan kebudayaan Melayu yang kita sedia maklum tidak
pernah dihargai atau mendapat pengiktirafan kuasa penjajah.
Jika
hal ini berterusan, maka tidak hairanlah pada hari ini jawatan
pensyarah bukan menjadi pilihan golongan muda. Apa yang sepatutnya
dilakukan oleh pihak KPT ialah memberi pengiktirafan kepada
jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh universiti mahupun institusi
tempatan yang lain. Perkara yang paling penting ialah budaya penulisan
jurnal dapat berkembang hebat dan budaya penulisan penyelidikan dapat
terus subur dalam negara. Menerbitkan jurnal bukanlah semudah yang
disangkakan. Sekirannya hal ini masih dipandang sebelah mata, maka
adalah malu seorang pensyarah yang kelulusan sarjana atau doktor
falsafah (PhD) dan bekerja di universiti tempatan, markah KPInya berada
pada bawah paras “malas” atau “sakit” sedangkan mereka mempunyai
dedikasi yang tinggi dalam pengajaran dan melakukan tugas-tugas rasmi
universiti seperti membentang kertas kerja, menghadiri seminar, menjadi
perunding kepada beberapa organisasi kerajaan dan sebagainya.
Perkara kedua ialah tentang gaji pensyarah. Aneh dan pelik kerana sepanjang 30 tahun saya bertugas sebagai pensyarah, gaji pensyarah tidak pernah melalui penstrukturan semula berbanding gaji guru yang saya lihat begitu drastik perubahannya.
Bayangkan seorang guru pakar (guru cemerlang) yang hanya berkelulusan
ijazah pertama layak menerima gaji bergred DG52 (setaraf dengan gred
gaji pensyarah berkelulusan PhD) atau DG48 sedangkan seorang pensyarah
yang berkelulusan sarjana dan bergred DS45, mengajar pula calon-calon
sarjana tetapi menerima gaji yang lebih rendah daripada itu.
Lebih malang lagi ialah, sebahagian
besar pensyarah bergred DS45 ini merupakan bekas-bekas guru yang
berpengalaman mengajar lebih daripada 15 tahun. Jika dibandingkan dengan
rakan-rakan guru mereka yang berada di sekolah atau di Institut
Pendidikan Guru (IPG) atau Kolej Matrikulasi, maka golongan pensyarah
ini seperti sengaja dizalimi. Lebih memalukan lagi jika dibandingkan
dengan guru-guru sekolah yang mengajar Tingkatan 6 (pra-universiti),
dengan pengalaman kurang 10 tahun tetapi turut menerima gaji gred
DG48/DG44.
Inilah satu kezaliman dalam kes
pembayaran upah dan guna tenaga kerja kepada pensyarah. Oleh itu, saya
mencadangkan supaya gred gaji pensyarah tanpa PhD perlu dinaiktarafkan
kepada DS52 (atau setara dengan tingkat gaji DG48) dan pensyarah
berkelulusan PhD dinaik taraf ke Gred DS54 dan begitulah seterusnya.
Situasi ini akan dapat menunjukkan status dan kedudukan pensyarah di
mata dunia setanding usaha memartabatkan golongan profesional.
Secara peribadi, saya melihat skim
perkhidmatan pensyarah IPTA pada zaman ini adalah amat menyedihkan
berbanding guru sekolah. Golongan ini terpaksa berhadapan dengan satu
persaingan dunia yang jumud dan amat menekan. Pensyarah hari ini lebih
teruk daripada seorang guru yang terpaksa berhadapan dengan cabaran atau
kemungkinan pertembungan budaya ilmu. Tentunya pertembungan ini
menuntut iltizam dan komitmen yang tinggi sebagai satu usaha persaingan
yang sihat.
Malangnya, semua usaha yang dilakukan
oleh pensyarah bagi melonjakkan impian Malaysia untuk menjadi pusat
pengajian ilmu terbaik Asia tidak pernah dihargai. Inilah kelemahan
bekas Menteri Pengajian Tinggi, iaitu YAB Dato’ Khalid Nordin yang tidak
pernah memikirkan nasib dan kebajikan pensyarah IPTA berbanding YAB Tan
Sri Mahyudin Yassin yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh membela
nasib guru.
Sepanjang saya berkhidmat sebagai
seorang pensyarah pelawat di Amerika, hal-hal sebegini tidak berlaku.
Penilaian prestasi (KPI) seseorang pensyarah dinilai kepada sebanyak
mana mereka menyumbangkan ilmu dan kepakaran mereka kepada masyarakat.
Sumbangan mereka menulis untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah
mahupun buku cerita kanak-kanak amat dihargai kerana para pensyarah itu
dikatakan milik masyarakat.
Penerbitan jurnal berwazit dan bertaraf
SCOPUS dan ISI hanya satu hambatan penerbitan untuk tujuan mendapatkan
bonus tahunan. Hal ini bermakna, pensyarah yang berada di Barat itu amat
rapat hidupnya dengan masyarakat dan mereka amat dihormati jiran
tetangga atau masyarakat setempat. Situasi ini tidak berlaku di negara
kita. Oleh sebab ingin mengejar penerbitan SCOPUS dan ISI, mereka
seperti menjadi makhluk asing di taman perumahan atau menjadi kera
sumbang yang mementingkan diri sendiri. Demi kerana mengejar “rangking”
dunia universiti, adakah ini yang diinginkan oleh KPT? Kita perlu sedar
bahawa untuk menandingi atau menyaingi Univesiti Havard, Oxford, Yale,
Cambrige atau mana-mana universiti terbaik dunia bukan satu usaha mudah.
Kita sepatutnya berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu jangan
tergila-gila merebut status universiti terbaik dunia tetapi berfikir
bagaimana untuk menjadi fakulti yang ada di dalam sesebuah universiti
itu boleh menjadi fakulti terbaik dunia dengan menggunakan sepenuh tenaga dan kepakaran yang ada.
Universiti of Tokyo misalnya mempunyai
Fakulti Kejuruteraan Automobil ketiga terbaik di dunia tetapi universiti
ini berada dalam kelompok ke-100 dalam “rangking” dunia. Hal ini
sepatutnya boleh berlaku kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti
Malaya bagi menjadi Pusat Tamadun Melayu Dunia seperti Universiti of
Leiden, Belanda atau juga Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia bagi mengambil alih fungsi Universiti Al-Azhar, Mesir. KPT
tidak berfikiran sedemikian sebaliknya yang difikirkan ialah “kegilaan”
mengejar “rangking” dunia tanpa pernah mengukur pakaian pada badan
sendiri.
Tugas Pensyarah Lebih Berat Daripada Guru , Tetapi Gaji Guru Lebih Lumayan!
Kepada KPT, fikirkanlah kebajikan dan
nasib para pensyarah yang akan membawa impian dan nama universiti
tempatan ke mata dunia sebelum mereka berhijrah ke universiti swasta
(IPTS) yang menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tugas pensyarah sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah. Mereka perlu membuat penyelidikan, menyelia tesis sarjana mahupun PhD, mengajar dan mereka juga menjadi milik masyarakat.
Adilkah mereka dibayar dengan gaji yang
setara upahnya dengan guru jika beban tugas yang terpaksa dipikul itu
lebih berat? Beberapa bulan lalu, dalam ruangan “Surat Pembaca” Berita
Harian, jawapan oleh Unit Komunikasi Koprat terhadap keluhan seorang
Profesor Pencen amat melucukan. Jawapan itu menunjukkan bahawa pegawai
di KPT hanya memikirkan perut sendiri. Cuba kita bayangkan, wajarkah
seorang pensyarah Gred DS45 (tanpa PhD) boleh menjawat jawatan profesor
atau pengarah di universiti?
Apakah ertinya pengalaman 15 tahun
bergelar guru, 5 tahun bergelar pensyarah dengan kepakaran yang dimiliki
jika tidak dihargai oleh universiti? Jawapan-jawapan mereka yang
merujuk juga kepada universiti mempunyai kuasa autonomi hanya satu
jawapan bodoh dan menolak prinsip kemanusiaan. Ingin saya bertanya juga
kepada KPT, sejauh mana kuasa autonomi KPM yang diberikan kepada IPTA?
Akhirnya, sebagai seorang profesor Gred
Jusa B, saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap gaji dan
jawatan kerana saya sudah menikmati kesemuanya itu. Apa yang saya
harapkan ialah belalah nasib golongan pensyarah ini kerana di tangan
merekalah akan lahirnya generasi hebat negara dan generasi bermodal
insan yang bakal menyambung gagasan kepimpinan negara.
Seperti yang selalu saya suarakan di
dalam mesyuarat dengan anggota senat-senat universiti bahawa sudah
sampai masanya pihak KPT berfikir seperti mana cara orang Jepun
berfikir, iaitu memastikan bangsa mereka berada di baris hadapan tanpa
membunuh jati diri bangsa. Budaya menginsafi falsafah Melayu “kera di
hutan disusukan; anak mati dalam pelukan” perlu difahami sebaik-baiknya.
Gaji Pensyarah Malaysia VS Gaji Pensyarah Warga Asing?
Wajarkah rakyat Malaysia membayar gaji yang lumayan kepada pensyarah warga negara asing
yang berkelulusan sarjana dan tidak menyumbangkan apa-apa dalam dunia
penerbitan? Fikirkan kebajikan dan nasib pensyarah-pensyarah warga
tempatan ini, khususnya pensyarah-pensyarah muda yang bakal memikul
tanggungjawab dan amanah untuk 10 atau 20 tahun lagi. Jika Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) telah melakukan banyak penambahbaikan dalam
mengangkat martabat guru, sepatutnya hal yang sama juga berlaku kepada
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sebagai penutup surat ini, sekali lagi
saya merayu agar KPT dapat memikirkan kewajaran pandangan dan cadangan
saya ini supaya kita sama-sama dapat mengangkat martabat dan memikirkan
kebajikan golongan pensyarah yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana
pihak sejak 10 tahun kebelakangan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan