KOTA KINABALU - Polis masih memburu 10 individu lagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis percaya siasatan ke atas kes tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya dengan penangkapan 10 pengikut ajaran sesat Harun yang disyaki terlibat dengan pembunuhan pegawai Jaip itu.
"Biarpun kita telah cakap semalam siasatan dah selesai dengan penangkapan 13 orang termasuk dua wanita, kita percaya siasatan akan selesai terus dengan penangkapan 10 yang dikehendaki ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di sini hari ini.
Seminar itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Menurut Khalid, 10 individu berkenaan ialah Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28, yang beralamat terakhir di Kedah, Mohamed Faizal Abdullah, 46, (Johor), Mohd Rozi Akasah, 38, (Melaka), Khairul Amir Akasah, 34, (Negeri Sembilan) dan Mansur Hussin, 39, (Kelantan), Hamsinar Abdul Halim, 36, (Johor), Shaizral Eddie Nizam Shaari, 37, (Melaka), Jefferi Safari, 36, (Johor), Wan Mohd Shakri Wan Isa @Wan Ismail, 27, (Kelantan) dan Shamsul Amri Abu Hassan, 44, (Pahang).
Malam tadi, Khalid mengumumkan menerusi akaun Twitternya @KBAB51 bahawa polis berjaya merungkai kes pembunuhan tersebut dengan penangkapan 13 pengikut kumpulan ajaran sesat terbabit dan merampas pistol yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu.
Pada 20 November lepas, ketua kumpulan ajaran sesat itu Harun Mat Saat, 47, berjaya diberkas bersama-sama seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Tangkak, Muar, Johor.
Harun dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jaip Mohd Raffli Abdul Malik, 49, yang ditembak mati oleh seorang daripada tiga suspek yang datang ke rumahnya di Kuantan, Pahang pada 10 November lalu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan