Isnin, 21 Oktober 2013

Ketua bahagian Umno lebih mudah dapat tanah

MALAYSIA CHRONICLE



SHAH ALAM - Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat perlu mendesak kerajaan Pusat supaya mendedahkan maklumat mengenai tanah secara telus supaya pengagihan tanah itu dapat dijalankan secara adil.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, jika hendak membuat perubahan untuk rakyat, kerajaan mesti terbuka dan bersikap telus supaya mudah tanah tersebut diagihkan kepada rakyat.

"Kalau kita tidak tahu macam mana kita hendak mengagihkan tanah. Ketua Bahagian Umno lebih senang dapat tanah... dan orang yang dapat tanah itu tidak tahu mana tanahnya, ini betul," katanya ketika merasmikan Konvensyen Tanah & Perbandaraan Kebangsaan, di Shah Alam, pagi tadi.

Selama ini kata beliau, pengurusan tanah di negeri Selangor dijalankan secara tidak teratur sehingga kerajaan negeri tidak tahu sama ada tanah tersebut tanah kerajaan atau sebaliknya.

Mungkin ketika Selangor di tadbir kerajaan BN katanya, pentadbiran tanah tersebut disimpan dalam fail tanah yang mungkin melibatkan juga fail tanah yang terletak di bawah Pihak Berkuasa Tanah di SUK.

"Banyak, orang kerja kena cari fail, fail cepat hilang, ada fail yang diuruskan ada fail yang ditinggalkan, jadi maknanya kita minta telus. Bila ditanya tanah itu siapa punya, jawapannya nanti," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri sudah mula masukkan semua fail tanah dalam  komputer bagi memudahkan perncarian tanah dan kemungkinan alasan fail tanah hilang sudah tidak timbul.

Beliau menegaskan, sistem pemilikan tanah mesti dilakukan dengan telus dan boleh menentukan setiap rakyat memiliki tanah dengan syarat mesti ada keterbukaan dalam maklumat tanah.

Menurut beliau, kerajaan mesti mempunyai pengalaman mentadbir tanah dengan mengubah paradigma tanpa menggunakan sistem cara lama tetapi perlu mencari jalan bagaimana mahu mengagihkan tanah kepada rakyat.

Di Selangor katanya, memerlukan lebih kurang 43,872 hektar tanah untuk pembangunan sehingga tahun 2020 dan ia merupakan cabaran besar bagi memastikan pembangunan guna tanah tidak melebihi keperluan yang diunjurkan.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun kerajaan negeri sudah mempunyai dasar untuk menyediakan kediaman yang mampu dibeli oleh setiap keluarga.

Menurut beliau, sejak tahun 2009 lebih 18,000 penduduk sudah diberikan notis Borang 5A atau surat pemberimilikan tanah menerusi program kediaman persendirian.

"Kerajaan negeri dan pejabat daerah bekerjasama bagi memenuhi setiap permohonan untuk memiliki tanah sendiri yang diduduki lebih 10 tahun tanpa taraf milikan yang sah," tegasnya.Harakahdaily




Tiada ulasan: