Sebagaimana yang diduga, Ketua Pemuda Perak, Khairul Azwan Harun
akhirnya diumumkan memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia
menewaskan Jamawi Jaafar setelah dua bahagian yang mengadakan pemilihan
semulanya hari ini iaitu Gelang Patah dan Sabak Bernam memberikan
undinya kepada pegawai khas Menteri Besar Perak itu.
Dengan kedudukan undi sekarang Khairul Azwan mendapat 75 berbanding
Jamawi kekal 73 undi, setelah kedudukan seri 73-73 berlarutan lebih
seminggu, pemilihan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bachok pada Jumaat
ini sudah tidak mempunyai apa-apa makna lagi.
Bahkan tidak mustahil, undi daripada Pemuda Bachok juga tertumpah
kepada Khairul Azwan yang baru kalah sebagai Timbalan Ketua Bahagian
Pasir Salak kerana tiada gunanya mereka mengambil risiko cuba-cuba
menunjuk berani dengan memberikan undi kepada Jamawi.
Dengan kemenangan Khairul Azwan yang lebih popular dengan panggilan
Azwanbro, bermakna Khairy Jamaluddin telah berjaya memastikan calon
pujaan kalbunya itu menjadi orang nombor duanya dalam Pergerakan Pemuda
Umno Malaysia. Ini sekaligus menjadikan beliau menyamai kedudukan Najib
yang turut berjaya memastikan calon pilihannya iaitu Zahid, Shafie dan
Hishammuddin memenangi jawatan Naib Presiden Umno baru-baru ini.
Sebelum ini apabila jumlah undi yang diperolehi Azwanbro dengan Jamawi
seri 73-73, Jawatankuasa Pemilihan telah membuat keputusan bahawa
penentuan pemenangnya akan ditentukan melalui pengiraan undi popular.
Bagaimanapun KJ menyatakan ketidaksetujuannya dengan kaedah itu,
sebaliknya mahukan undi daripada Pemuda Gelang Patah yang belum
mengadakan pemilihan ketika itu dijadikan penentuan.
Entah bagaimana kemudian secara tiba-tiba Jawatankuaasa Pemilihan
bersetuju dengan cadangan KJ itu, bahkan selain Gelang Patah yang belum
mengadakan pemilihan, dua bahagian lain iaitu Sabak Bernam dan Bachok
juga turut dikehendaki mengadakan pemilihan semula, lalu menjadikan tiga
bahagian yang menjadi penentu siapa pemenang Naib Ketua Pemuda yang
sebenarnya.
Tindakan KJ yang menolak cadangan undi popular dan mahukan undi Gelang
Patah dijadikan penentuan tidak diragui lagi adalah isyarat yang jelas
bahawa beliau mahukan Khairul Azwan memenangi jawatan itu berbanding
Jamawi, meskipun sebelum itu menyatakan bersikap terbuka dan sedia
menerima sesiapa saja sebagai naibnya.
Dengan KJ yang sudah sah memenangi jawatan Ketua Pemuda dan mendapat
189 undi, sikapnya yang menolak undi popular yang sudah diputuskan oleh
Jawatankuasa Pemilihan, tentulah dilihat sebagai kecondongan sokongannya
kepada Khairul Azwan. Lantaran itu, pemilihan yang diadakan kemudian
selepas beliau sudah sah menang Ketua Pemuda, tentulah tidak lagi bebas
dan adil.
Blog ini sudah dua kali menulis mengenai penolakan KJ terhadap kaedah
undi popular adalah petanda beliau cuba campur tangan dan lebih mahukan
Khairul Azwan memenangi jawatan itu berbanding Jamawi. Sikap KJ itu
seperti tidak adil dan merosakkan kewibawaan Pemuda Umno itu sendiri.
Hari ini tebukti, undi Pemuda Gelang Patah dan Sabak Bernam akhirnya
mengecewakan Jamawi kerana kedua-dua Pemuda bahagian itu sudah memahami
siapa calon yang dikehendaki oleh KJ dan mereka tidak mahu mengambil
risiko melawan arus. Mereka akhirnya memberikan undi kepada Azwanbro
yang sudah pun tersenyum lebar sebelum ini ketika Jawatankuasa Pemilihan
membuat u-turn menolak kaedah popular yang sudah pun diumumkannya
sebelum itu.
Dalam kaedah pemilihan berasaskan electoral college, keadilan dan
ketelusan sebenarnya hanya terpancar jika pengundian dijalankan secara
serentak di semua bahagian. Sekiranya seri, undi popular seharusnya
dijadikan penentuan. Pengundian dari bahagian yang terkemudian tidak
boleh lagi diambil kira kerana ia dianggap sudah tercemar dan boleh
dipengaruhi.
Tambah tidak adil apabila KJ yang sudah menang besar cuba campur tangan
kerja Jawatankuasa pemilihan dan menunjukkan kecondongannya kepada
calon tertentu dan ini tentunya mempengaruhi bahagian yang belum
mengadakan pemilihan itu.
Jamawi sendiri walaupun akur dengan kekalahannya, tetapi nada
kesedihannya jelas tergambar apabila meluahkan perasaannya di laman
Facebook dengan menulis, "Saya akur dan menerima kekalahan ini kerana
saya umpama matador yang dipaksa berdepan dengan 10 ekor lembu ganas."
Selain itu, menurutnya, beliau juga bersendirian kerana semua Exco
Pemuda Umno tidak memihak kepadanya. Selain turut meluahkan
kekecewaannya bahawa kenyataan KJ yang tidak mahukan kaedah undi popular
adalah gambaran jelas bahawa Menteri Belia dan Sukan itu memang mahukan
Khairul Azwan bergandingan dengan dirinya.
Bagaimanapun, kekalahan Jamawi sebenarnya tidaklah memalukan dan
kemenangan Azwanbro pula tidaklah membanggakan. Jamawi kalah secara
jantan tetapi Khairul sebenarnya menang secara betina. Kemenangannya
tidak menjadikan dirinya dihormati dan tidak juga menjadikan Pemuda Umno
bertambah wibawa serta auranya.
Barangkali lebih ramai yang memandang sinis kepada Azwanbro selepas ini
kerana kemenangannya bukan diperolehi melalui undi yang benar-benar
bebas. Jika Azwanbro turun berkempen ke Sungai Limau sekarang,
barangkali juga tiada impak yang boleh disumbangkannya dalam memastikan
kemenangan calon BN di sana. Ini kerana kemenangannya tidak dihormati
ssbagaimana selayaknya.
Sekarang ini KJ mungkin gembira kerana calon pilihannya telah menang
sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Pemuda Umno dan Azwanbro
tentulah terlebih lagi gembiranya kerana jawatan idamannya sudah berada
dalam dakapannya tetapi adakah hanya sekecil itu matlamat perjuangan
mereka?
Tepuk dada dan tanyalah iman, sampai ke manakah kemenangan secara betina itu boleh memberi manfaat? – shahbudindotcom
Tiada ulasan:
Catat Ulasan