Isnin, 5 Ogos 2013

PAS gesa tunda dulu tandatangani perjanjian TPPA

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan Malaysia menangguhkan dahulu untuk menandatangani perjanjian Trans-Pacific Partnership Agreement yang dijadual dibuat Oktober tahun ini.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penurunan nilai mata wang Ringgit secara mendadak sejak BN mendapat mandat lemah pada 5 Mei yang lalu memberi petanda jelas bahawa Malaysia belum bersedia memasuki perjanjian itu.

"Perkara yang paling dirisaukan PAS ialah di dalam TPPA tertera sistem Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) di mana pelabur-pelabur atau syarikat-syarikat asing diberi kuasa untuk mengemukakan saman kepada kerajaan di mahkamah antarabangsa.

"Sekiranya krisis berlaku, dan nilai mata wang Ringgit jatuh mendadak, ketidak-mampunan negara dan syarikat-syarikat tempatan untuk menanggung kos perbicaraan di Mahkamah Antarabangsa akan meningkat secara mendadak juga. Ini sangat tidak adil untuk negara-negara kecil yang memasuki TPPA ini," katanya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Penarafan kredit dunia, Fitch Ratings yang meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif dan penurunan nilai mata wang Ringgit secara mendadak sejak BN mendapat mandat lemah pada 5 Mei yang lalu telah memberi tanda jelas bahawa ekonomi Malaysia belum bersedia dan kukuh untuk memasuki perjanjian Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) yang bakal dimeterai Oktober ini.

Kedudukan ekonomi Malaysia yang semakin lemah menyebabkan kerajaan tiada peluru yang cukup untuk berunding dan memastikan TPPA menguntungkan negara secara keseluruhannya.

Kemampuan kerajaan Malaysia untuk mengawal nilai mata wang Ringgit di pasaran tatkala hutang negara semakin membebankan dijangka lebih merosot jika TPPA ditandatangani. Ini kerana salah satu daripada dasar TPPA ialah pengharaman kawalan modal dan penambatan mata wang.

Sebagai negara kecil seperti Malaysia, tanpa kawalan modal dan penambatan mata wang sebagai senjata pertahanan ekonomi tatkala diserang kapitalis-kapitalis dunia seperti di 1997, negara akan mudah ditekan untuk menerima bantuan-bantuan daripada institusi kewangan dunia seperti IMF, yang syarat-syaratnya bagaikan satu penjajahan moden terhadap negara yang kecil modal seperti Malaysia.

Perkara yang paling dirisaukan PAS ialah di dalam TPPA tertera sistem Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) di mana pelabur-pelabur atau syarikat-syarikat asing diberi kuasa untuk mengemukakan saman kepada kerajaan di mahkamah antarabangsa.

Sekiranya krisis berlaku, dan nilai mata wang Ringgit jatuh mendadak, ketidak-mampunan negara dan syarikat-syarikat tempatan untuk menanggung kos perbicaraan di Mahkamah Antarabangsa akan meningkat secara mendadak juga. Ini sangat tidak adil untuk negara-negara kecil yang memasuki TPPA ini.

Atas sudut ini dan budaya rasuah di Malaysia yang semakin menular, PAS amat bimbang kerajaan Malaysia tidak dapat melindungi pasaran dan syarikat-syarikat tempatan tatkala industri penting seperti kewangan, tenaga, projek kerajaan dan peluang pekerjaan didominasi syarikat asing jika TPPA ditandatangani kerana kerajaan takut disaman.

Setelah 18 kali berunding, kandungan TPPA masih tidak diketahui umum, dan lebih teruk lagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terus membisukan diri. Sekiranya di peringkat rundingan ini, kerajaan Malaysia sudah tidak berani mempertikaikan kerahsiaan TPPA atas sebab ‘perjanjian untuk berunding rahsia’, apakah kita boleh mengharap kerajaan Malaysia yang ada ini untuk menjaga hak rakyat tatkala didapati TPPA menindas rakyat Malaysia secara amnya?

TPPA mesti dibentang dan dibahas di Parlimen dari sudut ‘Mengapa Malaysia harus mengundur diri dan menolak di TPPA?’ sebelum apa-apa keputusan dibuat. Jika tidak menjumpai sebarang alasan kukuh untuk menolaknya, barulah ia harus dibincang mengapa Malaysia harus menerima TPPA.

PAS mencadangkan agar perbahasan khas ini di parlimen disertai bekas negarawan, bekas governor Bank Negara dan institusi-institusi pakar ekonomi. PAS menegaskan kerajaan Malaysia harus menangguhkan perjanjian TPPA ini selagi TPPA tidak didebat secara menyeluruh dan difahami rakyat.

Kerajaan Malaysia tidak seharusnya terasa tertekan oleh negara besar untuk memeteraikan perjanjian TPPA Oktober ini. Kepentingan negara dan rakyat wajib dijadikan keutamaan dalam rundingan TPPA. Kerajaan BN mesti mendapat persetujuan rakyat sebelum menandatangani perjanjian TPPA.

Tiada ulasan: