Ahmad Lutfi Othman, |
|
|
Jelas sekali, langkah represif yang bercanggah dengan amalan demokrasi itu -- apatah lagi slogan transformasi Najib Razak -- sarat dengan motif politik ekoran keputusan mengecewakan PRU13 bagi Umno-BN. Sama ada ia dipengaruhi perwatakan bebal Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi, yang mahu menunjukkan dia lebih layak menjadi pewaris takhta daripada Najib, saya tidak berminat mengulasnya.
Belum sempat kes penipuan PRU13 dan ketempangan menjolok mata dalam sistem pilihan raya kita selesai "dibentangkan" dalam siri perhimpunan Blackout 505, kerajaan menambahkan lagi senarai panjang siri aksi yang menjengkelkan. Suara rakyat mahu ditutup rapat melalui Akta Hasutan (dakwaan terhadap empat aktivis) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (rampasan organ parti Pakatan Rakyat).
Sejak dilancarkan pada Mac 1987, lebih 26 tahun lalu, pelbagai tekanan dilakukan KDN terhadap Harakah, dengan mengenakan bermacam-macam syarat dan peraturan "karut-marut. Bagaimanapun, pengurusan Harakah sedaya upaya cuba memenuhi segala kehendak dan karenah Menteri Dalam Negeri itu. Bagai bola, dilambung dan disepak sesuka hati.
Berbekalkan AMCP, tindakan selektif dibuat KDN bukan hanya menurut selera dan citarasa menterinya, tetapi dipandu oleh rangka kerja sistematik strategis Umno-BN bagi menghalang pengaruh Harakah, khususnya kepada masyarakat Melayu.
Selama ini, orang ramai mudah membeli Harakah di pasaran bukannya kerana mereka berhak mendapatkan akhbar alternatif itu, tetapi rupanya disebabkan oleh ehsan pemerintah. Apabila elit penguasa merasakan jumlah cetakan Harakah semakin meningkat dan ia berkesan untuk merubah pemikiran pembaca, agar menjadi lebih kritikal kepada Umno-BN, maka ehsan tersebut akan ditarik balik.
Selagi mana peruntukan menekan dan tidak demokratik dalam AMCP dikekalkan, terutama berkaitan keperluan permit (Seksyen 5 dan 6), kuasa mutlak menteri dan penyingkiran hak untuk didengar (Seksyen 13A dan 13B) serta denda berat yang dikenakan (Seksyen 8), maka kita akan terus menyaksikan fenomena penjualan Harakah hanya dibenarkan bebas ketika jumlah cetakannya dikira tidak mampu menggugat keutuhan kerajaan BN.
Harakah di zaman reformasi (1998-99) meningkat mendadak sehingga melebihi 350,000 naskhah. Regim Dr Mahathir Mohamad tidak menunggu lama untuk menghukum Harakah sebaik keputusan PRU1999 diumumkan. Kekerapan penerbitannya dipancung daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan; satu langkah bacul, namun tidak diberikan reaksi yang munasabah oleh pemimpin PAS dan pembaca Harakah sendiri.
Niat dan motif KDN jelas sekali. Kita tidak akan menyaksikan operasi rampasan Harakah besar-besaran dibuat setiap kali ia diedarkan di pasaran. Kita juga tidak akan mendengar berita bahawa penguatkuasa KDN bertindak menangkap ramai pengedar atau penjual untuk dihadapkan ke mahkamah, meskipun mereka boleh berbuat demikian.
KDN tidak sedungu itu untuk bertindak melampau, dengan melakukan siri operasi rampasan dan tangkapan di seluruh negara, kerana ia hanya akan membuktikan bahawa kerajaan Umno-BN langsung tidak bersikap toleran dengan pandangan berbeda.
Malah, saya yakin bahawa KDN tidak akan mengharamkan permit penerbitan Harakah disebabkan kewujudan akhbar seumpama Harakah boleh dijadikan testimoni bahawa Najib Razak masih memberi ruang kepada suara-suara kritikan. Ya, masih ada kebebasan akhbar di Malaysia!
Namun, dengan melakukan operasi rampasan (dan selebihnya ugutan kepada rangkaian pengedar dan penjual Harakah) di lokasi tertentu, tetapi meliputi hampir setiap zon di negara ini, maka komuniti pengedaran akhbar akan merasa takut dengan risiko tinggi menjual "bahan terlarang" kepada orang awam.
Ya, tepat sekali, Zahid dan KDN hanya mahu mencampakkan rasa takut kepada pengedar dan penjual Harakah, terutama yang terdiri daripada bukan kalangan aktivis parti, bahawa mereka bakal menanggung kerugian besar jika diambil tindakan undang-undang di bawah AMCP
Kemerosotan jualan Harakah yang mendadak -- sehingga hampir 20,000 naskhah --- selepas operasi rampasan KDN itu mungkin membuatkan Zahid lega dan puas .... Motif dan objektif sudah tercapai.
Justeru, isu sekatan terhadap akhbar-akhbar parti politik, terutama syarat-syarat jualan hanya untuk ahli parti dan dikhususkan di premis parti, wajib ditangani dengan lebih serius dan bijaksana; sekali dan selamanya! Jangan hanya kerana KDN mengendurkan operasi buat satu tempoh tertentu maka kita berasa selesa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan