Selasa, 11 Jun 2013

Punca runtuhan diketahui sebulan

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
Punca runtuhan diketahui sebulan
Mohd Anuar ketika meninjau lokasi runtuhan tanjakan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang.
 
BATU MAUNG - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang akan menjalankan siasatan sekurang-kurangnya sebulan untuk mengetahui punca kejadian runtuhan tanjakan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang dalam kejadian Khamis lalu.

Pengarahnya, Mohd Anuar Embi berkata, dalam tempoh siasatan itu kontraktor yang terlibat, Cergas Murni Sdn Bhd akan dipanggil untuk diambil keterangan sebagai saksi utama.
Menurutnya siasatan akan dilakukan mengikut prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.

“Kita akan buat siasatan menyeluruh bermula semalam selepas operasi mengesan dan menyelamat dihentikan. Kita sudah berada di tapak kejadian sejak hari kejadian (Khamis) dan sudah membuat sedikit siasatan bagi meneruskan siasatan keseluruhan.

“Kita dapat bantuan bahagian forensik dari Ibu Pejabat DOSH di Putrajaya yang mana jumlah keseluruhan anggota terlibat seramai 13 orang,” katanya kepada media di lokasi kejadian semalam.

Menurutnya, sejak pagi semalam, pihaknya menjalankan satu perbincangan untuk membuat perancangan teliti bagi mendapatkan pelan siasatan yang rapi.

“DOSH akan mengenal pasti punca kejadian dengan melihat dari pelbagai faktor antaranya reka bentuk struktur, pemasangan konkrit serta penyelenggaraan sama ada ia melanggar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ataupun tidak.

Setakat hari ini (semalam) siasatan dalam peringkat mendapatkan fakta yang kini baru mencapai 10 peratus sebelum buat kesimpulan penuh.

Siasatan rapi perlu mengambil masa untuk kita mendapatkan punca sebenar kemalangan sama ada disebabkan faktor perlanggaran oleh pihak kontraktor, cara pemasangan konkrit yang salah termasuk penyeliaan tapak projek.

“Kita juga akan menyiasat dari skop latihan kejuruteraan, penyeliaan yang tertakluk di bawah peruntukan  akta yang sama. Dengan itu, kita mengarahkan kontraktor serta sesiapa sahaja supaya tidak membersih tapak serta mengganggu gugat bagi membolehkan DOSH menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

Mohd Anuar berkata, sekiranya siasatan mendapati pihak bertanggungjawab melanggar akta yang ditetapkan, pihaknya akan membawa kes itu ke mahkamah untuk tindakan undang-undang.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Negeri, Aznan Ashraf Abu Zarif turut menasihati orang awam supaya tidak mendekati kawasan runtuhan terbabit kerana keadaan di sekeliling masih belum stabil.

Tiada ulasan: