Setiausaha Politik Kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari turut mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, lantikan itu adalah untuk ‘menenangkan’ masalah dalaman DAP Kedah yang berlaku sebelum PRU13.
“Ya, CEC DAP membuat keputusan untuk melantik saya mengambil alih DAP Kedah bagi sementara waktu.
“Tujuannya hanyalah untuk selaras dengan keadaan politik dalaman DAP Kedah,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, dalam masa sama, beliau akan mengorak langkah sebagai persediaan DAP Kedah untuk menghadapi cabaran politik semasa.
“Saya akan mengeluarkan kenyataan yang lebih mendalam pada masa akan datang. Buat sementara ini, saya akan aturkan perjumpaan dengan pemimpin DAP Kedah untuk membincangkan beberapa isu.
“Yang paling penting, saya ingin memastikan perpaduan parti dan kerjasama antara semua pemimpin DAP adalah kekal,” katanya.
Sebelum ini, DAP Pusat menghantar satu surat menerusi emel kepada bekas pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik mengumumkan bahawa pengurusan DAP Kedah dan jawatannya akan digantikan oleh Zairil untuk sementara waktu berkuatkuasa 10 Mei lalu.
Guan Aik yang juga bekas Adun Kota Darul Aman turut melahirkan rasa kecewa dan meminta pusat memberi penjelasan mengenai perkara itu dalam masa terdekat kerana ia dilakukan tanpa perbincangan bersama jawatankuasa negeri terlebih dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan