Roketkini.com
KUALA
LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akhirnya mengakui
projek KLIA2 tergendala teruk setelah berbulan-bulan menafikan
kepincangan yang berlaku itu.
Pengakuan MAHB ini dibuat selepas Pakatan Rakyat (PR)
beberapa kali mempertikaikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan
sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony
Pua, berkata, MAHB memberi alasan kelewatan menyiapkan kerja pembinaan
yang sepatutnya siap pada September 2011 itu kerana beberapa bahagian
projek yang gagal disiapkan kontraktor terbabit.
“Kami tidak terkejut apabila kontraktor utama projek itu
menafikan dakwaan MAHB sebaliknya menyalahkan MAHB sendiri kerana
memberi arahan berulang kepada kontrak asal,” katanya Pua dalam
kenyataannya, hari ini.
Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara
mempertikaikan tindakan MAHB yang menyalahkan pihak kontraktor selepas
dua tahun berlaku kelewatan.
“Jika ianya benar kesalahan pihak kontraktor, mengapa
mereka tidak dikenakan denda dan ganti rugi yang ditetapkan atau LAD
(Liquidated Ascertained Damage) sejak September 2011 kerana kelewatan
menyiapkan projek berkenaan,” katanya.
Menurut Pua, masalah membabitkan kontraktor itu tidak
pernah disebut MAHB atau Kementerian Pengangkutan sepanjang 18 bulan
lalu ketika beliau dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar
mengetengahkan isu berkenaan.
“Akhirnya, MAHB sebagai pengurus projek dan pemilik serta
semua mereka yang berada dalam pengurusan tertinggi syarikat perlu
bertanggungjawab terhadap kemelut dan perkara yang memalukan itu,” kata
Pua.
Beliau dalam nada sinis turut berkata, penamaan Ketua
Pegawai Kewangan (CFO) MAHB Faizal Mansor sebagai CFO terbaik bagi
Perhubungan Pelabur oleh Persatuan Perhubungan Pelabur Malaysia (MIRA)
adalah sangat ironi.
“Permulaannya kos pembinaan projek KLIA2 itu kira-kira RM2
bilion tetapi sekarang meningkat 100 peratus kepada kira-kira RM4
bilion.
“Peningkatan drastik ini menyebabkan MAHB perlu
meningkatkan bon sebanyak RM3.1 bilion dan dijangka perlukan tambahan
RM1 bilion lagi pada masa akan datang menyebabkan MAHB terpaksa
berhutang,” kata Pua.
Awal tahun ini, Pua pernah mendedahkan pengumuman MAHB
untuk menambah RM598 juta melalui penempatan saham baru mengesahkan lagi
bahawa syarikat itu terdesak dan terjejas dengan kos pembinaan KLIA2
yang meningkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan