KUALA SELANGOR : Peranan dan pengaruh surat khabar dan televisyen “arus perdana” di kalangan rakyat semakin berkurangan ekoran jumlah pembaca yang berkurangan berbanding media sosial dan media internet.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin berkata dengan perkembangan itu media arus perdana tidak boleh lagi bermegah dan mendakwa mereka adalah media yang mewakili suara majoriti rakyat Malaysia.
Malah, katanya, rakyat juga sukar mempercayai laporan berita media arus perdana.
“Arus perdana bermakna satu media yang diterima pakai sebagai fikiran kebanyakan rakyat Malaysia. Nak tentukan media perdana atau tidak ada dua cara iaitu jumlah pengedaran media cetak sehari di dalam negara.
“Macam Utusan Malaysia sekurang-kurangnya 50,000 naskah diedarkan ke jabatan kerajaan itu maknanya dah kira wajib. Yang nak jadi media arus perdana dan dikira adalah yang dijual di pasaran seperti kedai mamak.
“Manakala media elektronik atau siber dilihat dari berapa jumlah pembaca.
“Kalau dilihat perkembangan maka jumlah pembaca itulah yang memnggambarkan arus perdana,” katanya ketika menjadi panelis dalam wacana bertajuk “Media Arus Perdana : Apa Nasib Pakatan Rakyat?.
Wacana anjuran Sinar Harian itu dibuat dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Hotel De Palma di sini hari ini.
Panelis lain ialah Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali dan Bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang manakala moderator adalah Wan Saiful Wan Jan dari Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
Faekah berkata, tafsiran tersebut perlu diubah pada masa kini kerana sejak 2008 media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan yang lainnya mengalami kemerosotan jumlah pembaca.
Malah, katanya, Utusan Malaysia mengalami kerugian RM 15 juta pada 2011 dan bergantung kepada tabloid Kosmo untuk pendapatan.
Jika pendapatan Kosmo tidak diambilkira, Utusan Malaysia mampu mencatat kerugian RM 26 juta.
“(Kerana) berita di media arua perdana yang ada kalanya berbentuk fitnah kini rakyat lebih mempercayai media sosila biarpun kadang-kadang media sosial ini adalah pandangan peribadi.
“Pakatan Rakyat (PR) bukan komplen tetapi elemen demokrasi itu tidak ditepati. PR mahu laporan adil.
“Adil tak bermakna sokong PR tetapi adil untuk semua. Bebas boleh sokong dan menentang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan