Laporan Khas Salmiyah Harun, |
Jika sebelum ini penulis hanya mendengar cerita daripada kawan-kawan yang pernah ke sana dan tidak boleh menggambarkan suasana yang diceritakan itu dan hanya mampu mengiyakan dan mengangguk sahaja.
(Pangsapuri yang ditinggalkan)
Bahkan penulis rasa tidak ada keperluan untuk ke sana memandangkan tempat itu bagi penulis ianya mungkin terlalu jauh memakan masa dan meletihkan kerana perjalanan ke tempat itu mengambil masa hampir dua jam.
Bagaimanapun demi tugas yang diberikan akhirnya penulis mahu atau tidak mesti menjejaki dan meneroka tempat tersebut sekali gus dapatlah menggambarkan suasana sebagaimana yang pernah diceritakan kawan-kawan sebelum ini.
Ahad lalu, akhirnya penulis sampai juga ke tempat yang dimaksudkan. Sampai sahaja tempat yang dituju penulis sudah mula mendapat gambaran jelas apa yang pernah diceritakan kawan-kawan sebelum ini.
Bukit Beruntung yang tidak untung, itulah 'tag line' yang diberikan oleh rakan-rakan yang pernah menjejaki kawasan ini, namun sejauhmana ianya tidak untung mungkin penduduk dikawasan itulah yang maha menilainya.
Keluar sahaja tol Bukit Beruntung menuju ke Kuala Kubu Baru, penulis terus terkesima sebaik melihat kawasan ini yang penuh dengan bangunan dan lot rumah kedai yang terbiar seolah-olah berada di kawasan yang ditinggalkan penduduk kerana 'berhantu'.
(Rumah kedai yang tidak ada peniaga)
Menyelusuri jalan Jejarum yang dipenuhi dengan gudang yang hampir keseluruhan sudah rosak. Bukan sahaja cat yang sudah luntur tetapi habis semua tingkap, pintu, bumbung, dinding sudah tercabut. Barang yang bernilai seperti besi dan aluminium usah ditanya mungkin sudah lama dikebas apatah lagi dengan semak samun yang semakin menyubur.
Pendek kata, jika dibaik pulih perlukan modal yang besar untuk jadikan rumah itu pulih sediakala. Dikhabarkan bangunan ini sudah mempunyai milik kemudian mahu diberi sewa malangnya tiada penyewa akhirnya jadilah bangunan yang usang.
Boleh dikatakan hanya segelintir sahaja lot rumah kedai yang berpenghuni dan kebanyakkan menjalankan kerja-kerja seperti baiki kereta, kilang kusyen, kilang plastik dan satu atau dua sahaja yang mengusahakan kedai makan. Memang waktu malam kawasan ini gelap dan sunyi.
Kawasan Bukit Beruntung, yang seluas 1,275.92 hektar dan salah satu kawasan yang mempunyai banyak projek terbengkalai. Malah di sekitar Hulu Selangor sahaja 11 projek terbengkalai yang melibatkan kawasan di Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Lembah Beringin, Batang Kali, Serendah, Rasa, Kerling, Hulu Bernam dan Sungai Choh.
(Rumah teres yang terbiar tanpa penghuni)
Rekod tersebut turut menunjukkan jumlah keseluruhan unit yang terbengkalai adalah 3,832 unit termasuk rumah teres dan teres berkembar, lot banglo dan banglo setingkat, kedai bertingkat dan bangunan pejabat serta bangunan perindustrian.
Begitu juga kawasan perumahan pangsapuri di Seri Inai Jalan Anggerik banyak yang tidak berpenghuni. Dalam satu blok hanya satu atau dua rumah sahaja yang berpenghuni, dan kebanyakkan rumah bawah dan tingkat satu.
Rumah teres setingkat di Taman Widuri turut menerima nasib yang sama penuh dengan semak samun, pagar sudah berkarat. Tidak ramai yang tinggal di sini, selang sebuah dua rumah ada satu keluarga. Banyak yang ditinggalkan.
Penulis difahamkan rumah berkenaan mempunyai pemilik dan ramai di kalangan mereka tinggal di Kuala Lumpur, kerana faktor jauh ke tempat kerja mereka biarkan kosong dan terus menjadi usang.
Salah seorang penghuni yang ditemui Nurhuda Jamal,28, ramai pemilik disitu mahu menyewakan rumah mereka malangnya tidak mendapat sambutan akhirnya rumah dibiarkan kosong terlalu lama, sudahnya rumah pula yang rosak.
"Antara yang saya lihat faktor jauh dari tempat kerja, ramai yang tidak berminat untuk tinggal di sini. Pemilik pula tinggal di Kuala Lumpur sudah tentu memakan masa hendak ulang-alik ke tempat kerja.
"Sewa rumah di sini mungkin dalam dua tiga ratus sahaja. Ketiadaan orang sewa, akhirnya rumah tidak dibayar seterusnya banyak yang bank lelong," kata Huda (gambar kanan).
Huda yang juga seorang suri rumah menaruh harapan agar kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi tumpuan untuk membangunkan semula Bukit Beruntung.
Misalnya kerajaan negeri perlu mengatur strategi pembangunan yang bijak demi membangunkan semula Bukit Beruntung sama ada wujudkan pusat komersial yang baru dengan kelengkapan premis-premis perniagaan seperti pusat membeli belah termasuk rangkaian francais makanan segera.
"Adanya rangkaian seperti ini saya yakin kawasan ini boleh maju. Macam petrol pam, sekarang ini kalau hendak isi minyak kereta perlu beratur panjang. Nak keluar punyalah jauh dari rumah. Petrol pam pun perlu ditambah lagi.
"Di sini kalau kita tak ada kenderaan sendiri memang susah untuk keluar membeli barang-barang keperluan. Pejabat pos pun jauh nun di sana. Kesian dengan makcik-makcik yang tidak ada transport susah mereka menapak ke sana," katanya yang hampir tiga tahun tinggal di sini.
Usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk menumpukan pembangunan di luar bandar penggal kedua ini satu langkah yang baik walaupun ia dikatakan agak terlewat.
Ini kerana, ramai yang berharap kerajaan sudah menumpukan projek di sini pada penggal pertama yang lalu. Mungkin faktor inilah yang menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal menawan kerusi di utara Selangor pada PRU13 lalu.
Dalam PRU 13 lalu, Pakatan Rakyat kalah di lima kawasan Parlimen, semuanya terletak di utara Selangor. Ia termasuklah Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Bukit Beruntung terletak di Hulu Selangor.
Penggal pertama mungkin kerajaan negeri tidak berkesempatan namun untuk kali ini harapan penduduk di luar bandar seperti di Bukit Beruntung dinanti-nanti, sewajarnya ia harus dilaksanakan untuk kali ini.
Salah seorang penduduk Mahani Mohamad (gambar kiri) menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan luar bandar dan berharap Bukit Beruntung salah satu kawasan yang dimaksudkan itu.
Beliau yang hampir 10 tahun tinggal di sini menyedari banyak yang perlu diusahakan oleh kerajaan negeri untuk membangunkan semula Bukit Beruntung.
"Jika Bukit Beruntung dimajukan saya percaya ia boleh dijadikan sebuah bandar yang maju, kemudahan infrastruktur yang lengkap, pusat komersial yang besar termasuk adanya kemudahan bank-bank. Insyallah Bukit Beruntung akan menjadi untung balik kepada penduduk mahupun kepada pelabur-pelabur," katanya.
Dahulunya, kawasan Bukit Beruntung mahu dijadikan lapangan terbang malangnya lapangan terbang pula dipindahkan ke Sepang. Sebab itulah ramai yang membeli rumah-rumah di sini kononya mahu mendapat untung setelah disewakan. Akhirnya rumah rosak, untung tidak dapat.
Apakah yang telah berlaku kepada Bukit Beruntung sejak Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pada tahun 2008. Sila baca laporan seterusnya selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan