Khamis, 6 Jun 2013

BN laku manipulasi untuk menang



Oleh Muhammad Sabu

HAMPIR setiap kali selepas pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, pihak yang kalah akan membuat “post mortem”. Sebab musabab kekalahan dalam pilihan raya dicari, dicungkil dan dihurai untuk persiapan pilihan raya akan datang.

Saya telah beberapa kali diamanahkan untuk mengetuai pasukan “post mortem”, terutama selepas pilihan raya 2008. Selalunya pemimpin kita (PAS) akan menasihatkan ahli dan pengikutnya untuk bersabar menerima keputusan rakyat dan ahli pula diminta membuat muhasabah terhadap diri dan jemaah (parti).
 
Hampir setiap “post mortem”, kita akan temui akan sebab punca kekalahan pada PAS dan parti pembangkang yang lain;
  1. Media yang tidak adil.
  2. Pemerintah (BN) gunakan jentera kerajaan dalam kempen sebelum dan semasa pilihan raya.
  3. Parti pemerintah (BN) menggunakan wang terlalu banyak dalam sogokan kepada pengundi.
  4. Politik ugutan, projek dan pembangunan terhadap rakyat yang disyaki enggan mengundi kepada parti pemerintah.
  5. Daftar pemilih yang tidak bersih dan dimanipulasikan daftar pemilih oleh BN.
  6. Masa berkempen yang pendek, sebelum hari mengundi dan halangan berkempen sebelum pilihan raya terutama di kawasan Felda.
  7. Polis didapati memihak dan ejen pula mengugut rakyat untuk kepentingan parti pemerintah (BN).
  8. Undi pos yang amat diragukan kesahihannya.
Di atas adalah sebahagian daripada “post mortem”, sebab musabab PAS dan “pembangkang” lain sukar mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.

Setiap kali selepas pilihan raya, inilah kerja PAS dan pembangkang yang lain, sedangkan BN akan terus memerintah, walaupun lebih 10 kali “post mortem” telah dibuat.

Pilihan raya umum ke-13 PRU13), semakin parah akan perjalanan demokrasi dan pilihan raya di Malaysia. Media hampir 100%  (RTM1, RTM2, TV3, TV8, TV9, Awani, TV Hijrah) menyiarkan propaganda BN dan menyerang parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Halangan untuk berkempen di kawasan Felda dilakukan oleh pihak BN – pasukan polis membenarkan halangan pergerakan PAS dan Pakatan Rakyat, walaupun kadangkala halangan itu berbentuk fizikal.
Undi pos yang dimanipulasi oleh pemerintah selama ini ditambah pula dengan hampir ¼ juta pengundi awal.

Pegawai kerajaan yang dipagari dengan “pemikiran BTN” – pemikiran mereka diracuni “asabiyah” Melayu dan mesti mempertahankan Umno untuk “survival” Melayu dan Islam.

Pembohongan celup jari oleh SPR.

Anugerah kerakyatan yang langsung tidak mengikut peraturan seperti yang didedahkan dalam siasatan RCI.
Kerakyatan automatik dan penglibatan rakyat asing dalam pilihan raya seperti pendedahan dalam kes Likas di Sabah – di bawah Hakim Dato’ Kamil Awang.

Walaupun pihak BN (kerajaan) menguasai undi “handicap” 1.5 juta (250,000 polis dan tentera, 250,000 undi pos pekerja SPR dan pegawai kerajaan lebih 1 juta ,  didapati hampir 52% rakyat memilih Pakatan Rakyat dan di pihak BN 47%.

Dengan keputusan 52/47 – BN masih tetap memerintah kerana mereka masih menguasai kerusi yang banyak di luar bandar, walaupun pengundinya sedikit. BN tetap kuasai pedalaman Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Dengan perjalanan demokrasi dan pilihan raya yang tempang begini, entah berapa kali lagi “post mortem” akan dibuat oleh PAS dan rakannya? BN dan pemerintah akan tetap menang hanya dengan manipulasi dan putar belit sistem pilihan raya.

Dalam dunia ketiga, yang berjaya tukar kerajaan melalui sistem pilihan raya hanyalah India. Indira Gandhi yang menyalahgunakan harta kerajaan didakwa di mahkamah dan didapati bersalah. Negara yang menjalankan kedaulatan undang-undang seperti itu baru boleh rakyat tukar kerajaan (parti pemerintah) melalui pilihan raya.

Sebaliknya negara yang perjalanan demokrasinya amat tempang, selalunya pertukaran pemerintah melalui jalan raya. Inilah yang berlaku di Filipina, Indonesia, Tunisia, Yaman dan Mesir.

Mengangkat senjata hadapi pemerintah, adalah jalan yang paling saya tidak setuju.

Kita akan lihat apa pula “post mortem” akan dibuat selepas pilihan raya ke 14, sekiranya perjalanan pemerintah BN tidak berubah dan perangai SPR tidak juga berubah, iaitu sebagai agen keliru dalam pilihan raya.

Tiada ulasan: