Khamis, 20 Jun 2013

Bengkel Sumbang Saran Halatuju Pendidikan Selangor Sabtu ini


Bengkel Sumbang Saran Halatuju Pendidikan Selangor 01

SHAH ALAM  : Kerajaan Negeri akan menganjurkan Bengkel Sumbang Saran Halatuju Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 di sini pada Sabtu ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, program sehari ini akan melibatkan penyertaan jabatan kerajaan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen, aktivis pendidikan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Kolej Unversiti Islam Selangor (Kuis), Univerisiti Selangor (Unisel) dan merangkumi semua jenis sekolah di Selangor.

“Antara objektifnya adalah mengumpulkan maklumat, maklumbalas dan cadangan dari pihak berkepentingan untuk menambahbaik halatuju Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

“Mengolah dan merumus hasil sumbang saran bagi menghasilkan pelan strategik program pendidikan, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan Selangor untuk lima tahun akan datang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Beliau menjelaskan penganjuran program itu juga bertujuan melihat pendidikan secara holistik dan ‘overview’ iaitu bukan sahaja segala apa yang terdapat di dalam sekolah tetapi juga yang berada di luarnya.

Tambahnya, ia juga adalah selari dengan falsafah pendidikan Selangor menerusi pendidikan jangka panjang iaitu bermula dari dalam buaian hingga ke akhir hayat.

Tiada ulasan: