Jumaat, 24 Mei 2013

Zahid tak perlu panik - Mohamad Sabu

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah panik apabila cuba memberi amaran jangan menghadiri himpunan aman SuaraRakyat 505 esok.

Katanya, Zahid sepatutnya menawarkan diri untuk berdepan dengan rakyat yang mahukan kebebasan bersuara bukannya berselindung di sebalik polis.

"Zahid bukannya hendak berdepan dengan rakyat, sebaliknya berselindung di belakang polis. Dia bukan pemimpin yang berani sebab guna polis," katanya kepada Harakahdaily.

Zahid dilaporkan memberi kenyataan amaran kepada mereka yang berhasrat untuk menghadiri himpunan anjuran NGO esok.

Katanya, pasukan polis akan mengambil tindakan tegas biarpun terpaksa "membayar dengan harga yang mahal".

Sementara itu, Mohamad mengesahkan akan hadir esok sebagai peserta himpunan tersebut.

Tiada ulasan: