Namun Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman enggan menyebut siapa yang dicadangkan itu.
GEORGETOWN: Umno Pulau Pinang sudah mengenalpasti nama calon yang akan memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang untuk dimajukan kepada Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, nama itu diambil daripada calon yang berpengalaman dalam bidang politik dan Persidangan Dun.
Setelah Gerakan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu, ia membuka peluang kepada Umno untuk mengisi jawatan itu memandangkan Umno memenangi 10 kerusi Dun, yang terbanyak berbanding parti komponen BN yang lain.
“Kita dah ada nama yang akan kemukakan kepada Presiden BN, mungkin minggu depan kita akan tahu keputusannya. Bagaimanapun, kita tidak boleh umum lagi kerana belum ada persetujuan.
“Kita berharap, agar semua wakil rakyat menjalankan tanggungjawab dan amanah masing-masing dengan baik. Walaupun kita kalah di dua kerusi Parlimen dan lima Dun, itu tidak mematahkan semangat kita untuk terus berkhidmat,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semalam di petik dari Kedah.kini
Zainal berkata, Umno yakin dapat mewakili suara rakyat bukan hanya kaum Melayu malah semua kaum termasuk kaum Cina.
“Kita berkeyakinan tinggi dapat mewakili suara rakyat, termasuk kaum Cina kerana Umno menang di 10 Dun dan tiga Parlimen, bukannya semua undi itu datangnya dari kaum Melayu. Saya yakin, kaum lain juga ada undi Umno walaupun dalam jumlah yang sedikit.
“Walaupun kita sedih dengan kekalahan kita untuk merampas Pulau Pinang kembali, namun kita terima dengan hati yang terbuka dan reda dengan keputusan rakyat. Kita juga akan terus berkhidmat di kawasan yang kita kalah bagi memastikan nasib rakyat terbela,” katanya.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Reezal Merican Naina Merican dari Umno menggesa supaya kerusi Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang diberi kepada Umno.
“Sungguhpun kerusi itu dipegang oleh Gerakan pada penggal yang lalu, tetapi Umno harus diberi peluang untuk memegang jawatan itu,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan