Isnin, 27 Mei 2013

Anwar : Najib, Umno-BN Yang Langgar Perjanjian Damai


anwar ibrahim kongres ke 9 PKR 02

PETALING JAYA : Perjanjian damai bagi menghormati keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) didakwa dilanggar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak dari awal lagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian yang ditandatangani antara dirinya dan Najib tidak lagi dianggap terpakai selepas berlakunya penipuan semasa berkempen, tiada kebebasan media dan proses pilihanraya yang tidak adil.

Sebelum ini, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa satu perjanjian dibuat antara Anwar dan Najib dimana mereka memberi komitmen untuk tidak menyerang antara satu sama lain secara peribadi semasa berkempen.

Perjanjian yang diatur oleh bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla itu meminta agar Najib dan Anwar menerima sebarang keputusan pilihan raya.

“Tidak perlu hendak cari kesalahan orang lain jika Najib sendiri yang melanggar syarat (perjanjian damai) tersebut.

“Kita sudah tandatangan syarat yang ditetapkan tetapi ia tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas upacara penutup Kongres PKR ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, semalam.

Jusuf dilaporkan mendakwa Anwar mengingkari perjanjian itu yang digerakkannya pada April lalu, sebulan sebelum PRU13 diadakan.

Jusuf dilaporkan berkata, beliau menghubungi Anwar sehari selepas PRU13 dan meminta Ketua Pembangkang itu supaya menghormati komitmen dan ‘melihat realiti’.

WSJ juga melaporkan Anwar mengakui beliau membuat perjanjian bersama Najib, dengan Jusuf sebagai orang tengah, namun Anwar mendakwa Barisan Nasional (BN) membatalkannya melalui cara mereka menjalankan kempen.

Di sidang media semalam, Anwar turut menafikan beliau pernah bersemuka dengan Najib, sebaliknya perjanjian itu ditandatangani berasingan selepas mendapat nasihat daripada pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau akan bersemuka dengan Jusuf dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar.

Tiada ulasan: