Jumaat, 10 Mei 2013

Tetap Usaha Pastikan Rakyat Selangor Perolehi Saham Air


Tetap Usaha Pastikan Rakyat Selangor Perolehi Saham Air 01

SHAH ALAM  : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memastikan saham air tetap diberikan kepada rakyat meskipun beliau tidak dipilih menjadi Menteri Besar bagi penggal ke dua ini.

Menurutnya, ia kerana perkara itu sudah dijanjikan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) Ahad lalu.

“Tidak jadi Menteri Besar pun saya akan tetap buat kerja sebab saya mahu tunjukkan kepada Selangor hak untuk rakyat mesti dikembalikan kepada rakyat dengan cara yang terbaik.

” Selepas menang PRU13, setiap malam saya catit dan buat kira-kira untuk saham air ini,” katanya dalam ucapannya di hadapan kira-kira 30,000 penonton yang hadir di Majlis Kesyukuran kemenangan Pakatan Rakyat Selangor, di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Abdul Khalid menambah tindakan itu akan dilakukannya demi memastikan rakyat tidak terbeban setiap kali penswataan berlaku.

” Tidak ada orang boleh salah gunakan kuasa itu. Saya tidak mahu rakyat terima beban setiap kali penswastaan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid turut menyifatkan kemenangan Pakatan Rakyat itu bukan dasar nasib baik seperti yang didakwa Umno-BN.

” Jika dulu Umno-BN kata kita menang sebab nasib kita baik, sekarang tidak lagi..Ia sebenarnya nasib tidak baik untuk Umno-BN sebab tidak dapat rampas Selangor.

” Oleh itu, kita minta rakyat bersama dengan penjawat awam, pimpinan politik dan rakan-rakan dalam perniagaan supaya kita bina

Selangor sebagai satu negeri yang mementingkan rakyat, dengan cara itu dana yang kita ada kena salurkan kepada rakyat dengan amanah,” katanya.

Dalam PRU13 baru-baru ini, Abdul Khalid berjaya memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan kerusi DUN bagi Pelabuhan Klang.

Tiada ulasan: