Khamis, 23 Mei 2013

Teras kesal kenyataan biadap menteri

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Pemimpin politik yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan perlu bertanggungjawab dengan kenyataan masing-masing dan tidak mengambil kesempatan dengan melemparkan kata-kata yang sensitif tetapi berselindung di balik kuasa yang ada di tangan mereka.
“Jika mereka berbuat demikian jelas ia memaparkan sikap politik yang sangat tidak matang dan tidak layak menempati barisan kepimpinan,” ujar Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Katanya, adalah memalukan untuk mereka yang berstatus menteri dan bekas menteri bersikap demikian walaupun sudah lama berada di medan politik kerajaan.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal terhadap semakin terserlahnya gejala menteri dan ahli parlimen yang hilang adab dalam pernyataan awam bila mengenengahkan reaksi politik mereka.

Dengan pernyataan yang tersiar sehingga ini jelas mereka melambangkan kerendahan budi dan emosi yang tidak sihat.

Dari Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri yang menyarankan supaya rakyat keluar dari negara ini sehingga Datuk Noh Omar, bekas Menteri Pertanian yang bereaksi supaya rakyat tinggal dalam hutan, sangat mengejutkan rakyat yang kini boleh berfikir kritikal terhadap pelbagai isu yang berlaku.

Kenyataan Zahid sangat dangkal bila menyarankan mereka yang tidak bersetuju dengan pilihanraya di Malaysia harus hijrah ke negara lain. Soalnya apakah menuntut agar pilihanraya dijauhkan dari amalan penipuan itu satu tuntutan yang salah.

Apakah menuntut supaya penipuan dihalang dalam proses pilihanraya itu satu dosa besar sehingga perlu mencabut kewarganegaraan  rakyat?

Tidak kurang memalukan juga bila para editor akhbar yang pro pemerintah jelas turut tidak menghormati kematangan rakyat dalam berfikir.

Api perkauman terus dibakar dengan memaparkan berita kebencian kepada satu kaum dan meningkatkan semangat perkauman yang semakin tajam.

Nampaknya sehingga hari ini semua kenyataan yang bersifat menghasut dan membawa kepada kebencian antara kaum  itu tidak diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Datang dari pemimpin kerajaan yang berkedudukan tinggi adalah jauh lebih bahaya jika dibanding dengan kenyataan yang diungkap oleh rakyat biasa. Lebih kesal lagi pemimpin kerajaan turut memberi komentar yang meningkatkan kebencian yang boleh menegangkan keadaan.

Teras mengingatkan pemimpin politik yang punya kedudukan dalam kerajaan perlu bertanggungjawab dengan kenyataan masing-masing dan tidak mengambil kesempatan dengan  melemparkan kata-kata yang sensitif tetapi berselindung di balik kuasa yang ada di tangan mereka.

Jika mereka berbuat demikian jelas ia memaparkan sikap politik yang sangat tidak matang dan tidak layak menempati barisan kepimpinan.

Adalah memalukan untuk mereka yang berstatus menteri dan bekas menteri bersikap demikian walaupun sudah lama berada di medan politik kerajaan.

Ternyata emosi yang mengatasi rasional kini menguasai pemimpin pemerintah sehingga sukar bersikap berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata.

Tatkala  rakyat berhak untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap proses PRU13, pemimpin kerajaan Pusat nampaknya lebih celupar dalam membuat kenyataan yang menimbulkan lagi kemarahan rakyat.

Mereka tidak wajar bersikap curiga terhadap rakyat bila rakyat menunjukkan bantahan  kepada proses pilihanraya.

Jika dari dulu rakyat telah membangkitkan pelbagai isu mengenai fungsi SPR yang kelihatan tidak bebas dan tidak adil, maka perhimpunan rakyat yang puluhan ribu itu seharusnya dianggap suatu pernyataan yang serius dan kerajaan harus memberi maklum balas untuk menjelaskan apa yang dibangkitkan.

Kerajaan dan para pemimpin kerajaan seharusnya jangan mengherdik rakyat dan bertindak dengan menyalahguna kuasa untuk mengugut rakyat dengan tindakan undang-undang.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Teras

Tiada ulasan: