Jumaat, 3 Mei 2013

'Tapisan-gaya-China' sekat video KiniTV


MALAYSIA KINI


 
Akses kepada video KiniTV telah disekat oleh ISP tempatan, dalam apa yang dianggap oleh beberapa pakar teknologi sebagai 'penapisan-gaya-China'.
Dua video wawancara dengan A Santamil Selvi - balu penyiasat persendirian P Balasubramaniam - mengenai peristiwa berkaitan dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, tidak boleh diakses melalui kebanyakan ISP tempatan.

Dua siasatan bebas - satu oleh Rizvan R dan satu lagi oleh Sinar Project - menunjukkan penapisan itu berlaku apabila seseorang mengakses server YouTube, yang berkemungkinan dihoskan oleh TMnet.

Bagaimanapun, video itu boleh ditonton melalui YES YTL dan Time Internet tanpa sebarang masalah. Malaysiakini telah memaklumkan kepada TM tentang masalah tersebut dan sedang menunggu jawapannya.

ISP diingat jangan campuri politik

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran hari ini sekali lagi mengingatkan ISP supaya menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan mereka tanpa sebarang campur tangan politik.

NONE"Selaras dengan dasar rasmi kerajaan dan Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998, penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti TM mempunyai tugas dan kewajipan untuk memastikan sistem mereka tidak digunakan untuk menapis Internet," kata Premesh (kanan).

"Ini adalah kali kedua kita telah dapat menunjukkan bahawa tapisan itu sedang berlaku," katanya, merujuk kepada sekatan yang dialami oleh Malaysiakini awal minggu ini.

Persoalan yang besar kekal sama ada akses kepada laman berita bebas akan disekat apabila pengiraan undi bermula pada hari Ahad.

"Kebimbangan terbesar kami adalah akses ke Malaysiakini akan disekat pada malam Ahad. Pihak berkuasa perlu memahami bahawa apabila maklumat yang tepat disekat, maka khabar angin akan mengambil alih, dan keadaan boleh jadi tak dapat dipertahankan," kata Premesh.

"Melalui laporan terkini media dalam talian serta media tradisional, para pengundi akan lebih tenang dan tidak akan mempercayai khabar angin yang berunsur provokatif."

Beliau menggesa pengawal-selia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), supaya menempatkan kakitangannya di ISP pada hari mengundi bagi memastikan akses tidak terganggu.

Malaysiakini sedang menunggu jawapan dari SKMM mengenai rancangannya pada malam Ahad nanti.

Laman hadapi serangan berterusan

Selain tapisan ISP tempatan, akaun Twitter Malaysiakini juga turut digodam. Bagaimanapun, Malaysiakini dapat kembali menanganinya.

Di samping itu, kedua-dua Malaysiakini.com dan KiniTV.com menghadapi serangan penafian perkhidmatan (DOS) sejak beberapa minggu lalu. Bagaimanapun, tidak seperti percubaan sebelum ini, serangan kali ini tidak dapat menutup kedua-dua lamanweb tersebut.

Sekiranya ISP menyekat Malaysiakini pada malam pilihan raya nanti, pembaca hendaklah mengakses Facebook Malaysiakini dan Twitter.
Pembaca juga boleh mengakses Malaysiakini melalui telefon pintar melalui aplikasi android.

Tiada ulasan: