Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membazirkan RM5 juta untuk pembelian dakwat kekal tetapi boleh ditanggalkan dalam masa singkat, selepas dicalit di jari pengundi pada pengundian awal Selasa lalu.
Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty mempersoal jaminan SPR yang mendakwa dakwat itu tahan seminggu.
“Jaminan SPR sangat bercanggah dengan apa yang berlaku pada hari pengundian awal kerana calitan dakwat kekal boleh ditanggalkan dalam masa sekejap sahaja.
“Ini hanya membazirkan duit rakyat kerana kita tahu untuk menempah dakwat kekal melibatkan kos yang tinggi berdasarkan pengakuan SPR sebelum ini. Mana jaminan SPR?” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, SPR melalui pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengakui pembelian dakwat kekal melibatkan kos yang besar tetapi tidak mendedahkan amaun sebenar.
Bagaimanapun, Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu, SPR membelanjakan kira-kira RM5 juta membeli dakwat kekal baru kerana dakwat kekal yang sepatutnya digunakan pada PRU 2008 sudah dilupuskan kerana tamat tempoh.
Pada 2008, SPR bercadang menggunakan dakwat kekal, tetapi membatalkan seminggu sebelum pilihan raya atas faktor keselamatan.
Sehubungan itu, dakwat kekal dengan kos RM2.4 juta itu dilupuskan pada 25 November 2009.
Mengulas lanjut, Muhammad Nur berkata, SPR perlu mencari jalan menyelesaikan segera masalah dakwat tidak kekal itu supaya tidak berulang pada hari pengundian 5 Mei ini.
“SPR perlu bertanggungjawab. Kita tidak mahu perkara ini berulang lagi pada hari mengundi. Kita tidak tahu sama ada dakwat itu betul-betul berkualiti atau sebenarnya berkualiti rendah.
“Kita tidak mahu duit rakyat dibazirkan. Jangan sesekali mengatakan penggunaan dakwat kekal akan ditarik balik di saat akhir seperti berlaku pada 2008,” kata calon Parlimen Bagan Serai itu.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak jika masalah tersebut berpunca akibat perancangan SPR untuk membantu Umno kerana bimbang dengan momentum rakyat kepada Pakatan Rakyat.
“Mungkin ini juga taktik terancang SPR bersama Umno kerana takut dengan sokongan rakyat yang mahukan perubahan. Manipulasi dakwat kekal ini antara taktik yang akan digunakan,” kata Muhammad Nur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan