Jumaat, 24 Mei 2013

Rafizi: Maklumat Petisyen PRU13 Hampir Siap


PRU13 PKR 01

SHAH ALAM: Pasukan #Siasat PRU-13 bersedia memfailkan petisyen bagi mencabar beberapa keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang meragukan sebelum ini.

Ketua Pasukan #Siasat PRU-13, Rafizi Ramli berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pasukan peguam untuk menyiapkan petisyen berkenaan dan akan melakukannya secara berperingkat.

“Kita sudah bekerja bersama kumpulan peguam dan mereka adalam proses menyedikan petisyen untuk difailkan.

“Kita akan failkan secara berperingkat-peringkat. Maknanya kita tidak menungggu semuanya siap kemudian baru difailkan.

“InsyaAllah kita akan ada 25 hingga 29 petisyen,” katanya kepada TV Selangor.

rafizi 01

Ahli Parlimen Pandan itu turut memaklumkan, PKR menumpukan kepada 19 buah kerusi dan 10 Jun merupakan tarikh akhir penghantaran petisyen supaya menepati tempoh 21 hari berbuat demikian.

Berkata mengenai kepincangan yang ditemui melalui siasatan yang dibuat Rafizi menjelaskan, soal integriti peti undi pertikaian dakwat kekal merupakan antara perkara yang dibangkitkan di dalam siasatan mereka.

“Kita banyak tumpukan kepada kes spesifik berlakunya rasuah, pengundi hantu, atau ada bukti Borang 13 dan 14 jumlah kertas undi tidak sama. Itu antara petisyen yang sedang disiapkan,” maklumnya lagi.

Bagi Pengarah Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming memaklumkan, antara kerusi yang diberikan perhatian oleh DAP adalah Parlimen Labis, Cameron Highland dan Bentong.

Menurutnya, keputusan dikawasan berkenaan dicabar ekoran kekalahan DAP dengan majoriti bawah 1,000 undi.

Sementara di pihak PAS, Peguam Asmuni Ani dalam reaksi ringkas memberitahu pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi malam ini berhubung penyerahan petisyen PRU-13 terutama dalam mendapatkan maklumat di beberapa negeri yang ditandingi.

Untuk rekod, parti politik dan calon bertanding mempunyai hak untuk mencabar keputusan pilihan raya melalui cara memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di kawasan negeri yang dipertikaikan tidak kira atas apa alasan.

Perkara ini dijamin dibawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: